+(6)07-5533333 jabatanpendaftar@utm.my

SENARAI ELAUN YANG BERKUATKUASA

Lain-lain elaun di bawah Komponen Berubah yang sedang berkuatkuasa berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 10 Tahun 2019

KOMPONEN BERUBAH

Komponen berubah merupakan elaun, insentif dan bayaran lain selain dari Imbuhan Tetap. Elaun di bawah komponen berubah adalah tidak tetap dan tidak kekal. Ianya diberi sebagai galakan dan penghargaan serta berasaskan kriteria yang ditentukan. Senarai elaun yang dinyatakan di sini hanya bagi elaun yang digunapakai di UTM sahaja.

INSENTIF

BAYARAN IMBUHAN SARA HIDUP (COLA)

Bayaran Imbuhan Sara Hidup (BISH)/ Bantuan Sara Hidup ialah imbuhan yang diberi oleh Kerajaan untuk menjaga kesejahteraan dan kebajikan Pegawai Perkhidmatan Awam dari Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana. Kadar BISH adalah di antara RM150 hingga RM350 mengikut kadar kawasan. Rujukan semasa bagi BISH adalah Pekeliling Perkhidmatan Bil 7/2019.

BAYARAN IMBUHAN MENYELENGGARA RUMAH

Bayaran Imbuhan Menyelenggara Rumah (BIMR) ialah imbuhan yang diberi kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi sahaja. Kadar BIMR adalah di antara RM2000 hingga RM4000. Rujukan semasa bagi BIMR adalah Pekeliling Perkhidmatan Bil 4/1996 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 1996.

BAYARAN IMBUHAN PEMBANTU RUMAH

Bayaran Imbuhan Pembantu Rumah (BIPR) ialah imbuhan yang diberi kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi sahaja. Kadar BIPR adalah di antara RM500 hingga RM2000. Rujukan semasa bagi BIPR adalah Pekeliling Perkhidmatan Bil 4/1996 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 1996.

BAYARAN IMBUHAN PERUMAHAN WILAYAH

Bayaran Imbuhan Perumahan Wilayah (BIPW) merupakan elaun yang layak diberi kepada pegawai yang bertukar wilayah. Pegawai yang bertukar wilayah bermaksud Pegawai yang berasal dari Sabah (termasuk Labuan) atau Sarawak yang dilantik dan ditempatkan berkhidmat di Semenanjung. Kadar BIPW adalah di antara RM230 hingga RM2,500 mengikut penempatan negeri/bandar dan kumpulan gred seperti yang dinyatakan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 11/2001.

BAYARAN INSENTIF IKHTISAS KUMPULAN PENGURUSAN TERTINGGI

Bayaran Insentif Ikhtisas Kumpulan Pengurusan Tertinggi ini bertujuan untuk mewujudkan dan meminda kadar bayaran elaun- elaun kepada Kumpulan Pengurusan Tertinggi Sektor Awam. Kadar bayaran adalah diantara RM5,300 hingga RM500 sebulan seperti yang dinyatakan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 Tahun 1996.

BAYARAN INSENTIF TUGAS KEWANGAN

Kerajaan telah memutuskan untuk memberi Bayaran Insentif Tugas Kewangan kepada PT (P/O) yang menjalankan tugas dalam bidang kewangan.  Keputusan Kerajaan membayar BITK adalah sebagai galakan kepada PT (P/O) dan Pembantu Akauntan untuk meningkatkan kecekapan dan kemahiran dalam bidang tugas pengurusan kewangan.

BAYARAN INSENTIF PERKHIDMATAN KRITIKAL

Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) adalah elaun yang diberi kepada skim-skim perkhidmatan yang ditetapkan sebagai Perkhidmatan Kritikal. Kadar bayaran BIPK adalah berdasarkan peratusan BIPK iaitu di antara 5% sehingga 15% mengikut gaji yang diterima seperti yang dinyatakan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 17 Tahun 2007.

BAYARAN INSENTIF TUGAS PENGURUSAN STOR

Bayaran Insentif Tugas Pengurusan Stor diberi kepada PTPO yang menjalankan tugas dalam pengurusan stor. Ianya sebagai galakan kepada pegawai dalam meningkatkan kecekapan dan kemahiran dalam bidang pengurusan stor. Kadar bayaran adalah RM40.00 dan RM80.00 sebulan seperti yang dinyatakan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 8 Tahun 1999.

BAYARAN INSENTIF WILAYAH

Bayaran Insentif Wilayah (BIW) merupakan elaun yang layak diberi kepada pegawai yang bertukar wilayah. Pegawai yang bertukar wilayah bermaksud Pegawai yang berasal dari Sabah (termasuk Labuan) atau Sarawak yang dilantik dan ditempatkan berkhidmat di Semenanjung. Kadar bayaran BIW adalah berdasarkan peratusan BIW iaitu di antara 12.5% sehingga 25% mengikut gaji yang diterima seperti yang dinyatakan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2012.

ELAUN

ELAUN LEBIH MASA

Apabila seseorang kakitangan diarahkan oleh Ketua Jabatan untuk bekerja lebih daripada masa yang ditetapkan untuk waktu bekerja pejabat atau pada hari cuti am, Elaun Lebih Masa hendaklah dibayar bagi masa tambahan yang terlibat. Begitu juga apabila seseorang kakitangan diarahkan bertugas lebih daripada masa yang ditetapkan bagi pusingan atau satu giliran dalam waktu kerja bukan pejabat dan pada hari rehatnya atau pada hari cuti am, Elaun lebih Masa hendaklah juga dibayar kepadanya bagi tambahan masa kerja itu.

ELAUN PEMANGKUAN

Pemangkuan Kerja bermaksud pelaksanaan tugas oleh seorang pegawai secara sepenuh masa, suatu jawatan lain yang lebih tinggi grednya daripada gred hakiki Pegawai itu dalam skim perkhidmatan dan perkhidmatan yang sama dengan kelulusan Lembaga Kenaikan Pangkat. Tujuan dan asas pemangkuan kerja adalah untuk menilai keupayaan Pegawai melaksanakan tugas dan tanggungjawab di gred jawatan yang lebih tinggi yang menjadi asas penilaian sebelum pegawai dipertimbangkan kenaikan pangkat ke gred berkenaan.

ELAUN PEMBANTU KHAS

Elaun Pembantu Khas ialah elaun yang diberi kepada Setiausaha Pejabat/Pembantu Khas. Kadar Elaun Pembantu Khas  adalah di antara RM120 hingga RM250 mengikut gred jawatan hakiki pegawai penyelia. Rujukan semasa bagi Elaun Pembantu Khas adalah Pekeliling Perkhidmatan Bil 1/2010.

ELAUN PENANGGUNGAN KERJA

Penanggungan kerja adalah pelaksanaan tugas suatu jawatan lain oleh seseorang pegawai di samping melaksanakan tugas jawatannya sendiri bagi suatu tempoh yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Melulus yang berkenaan

ELAUN PENGETUA ASRAMA

Elaun Pengetua Asrama ialah elaun yang diberi oleh Kerajaan sebagai imbuhan galakan kepada  pegawai akademik yang dilantik bagi menjalankan tugasan tambahan yang berkaitan. Elaun Pengetua di UTM dibayar melalui nama Elaun Khas Pentadbiran.

ELAUN GANTIAN KENDERAAN

Pemberian elaun gantian kenderaan sebagai ganti kemudahan kereta rasmi kepada Pegawai Universiti telah diluluskan oleh Mesyuarat Lembaga Pengarah Bilangan 61 bertarikh 11 November 2010. Elaun ini berkuat kuasa mulai 2 Disember 2010 dengan kadar bayaran elaun yang diluluskan sebanyak RM3,000,00 sebulan bagi Naib Canselor dan RM2,000.00 sebulan kepada semua pegawai lain yang layak menerima elaun tersebut.

ELAUN TANGGUNGJAWAB KHAS PEMANDU

Elaun Tanggungjawab Khas Pemandu (ETKP) adalah elaun yang diberi kepada skim perkhidmatan Pemandu Kenderaan Gred H11, H14, H16, H18. Kadar bayaran ETKP adalah sebanyak RM150.00 sebulan seperti yang dinyatakan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2019.

ELAUN TUGAS KHAS PENTADBIRAN

Pemberian Elaun Tugas Khas Pentadbiran kepada Pentadbir Akademik UTM iaitu staf akademik yang dilantik oleh Universiti sebagai Dekan bagi entiti akademik, Pengarah, Dekan, Timbalan Dekan, Timbalan Pengarah, Ketua Jabatan, Pengurus, Pengetua serta jawatan yang diwujudkan oleh Universiti bagi mengurus tugas-tugas pentadbiran dan akademik di Fakulti, Pusat, Bahagian dan lain-lain Pusat Tanggungjawab. Kadar Elaun Tugas Khas Pentadbiran adalah di antara RM600.00 hingga RM1500.00 mengikut jawatan pentadbir yang disandang seperti yang dinyatakan di dalam Garis Panduan Pelantikan Pentadbir Akademik UTM.

ELAUN TUGAS MEMANDU KENDERAAN

Elaun Tugas Memandu Kenderaan adalah elaun yang dibayar kepada pegawai Perkhidmatan Awam yang jawatannya bukan Pemandu Kenderaan dan diarahkan oleh Ketua Jabatannya untuk memandu kenderaan Kerajaan. Kadar bayaran adalah diantara RM3.00 dan RM5.00 sehari seperti yang dinyatakan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 12 Tahun 2007.

(Dilawati 6,211 kali, 72 lawatan hari ini)