+(6)07-5533333 jabatanpendaftar@utm.my

Anugerah Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan

Kriteria Penerima Anugerah Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan

 

Pengenalan

  1. Dalam usaha untuk mempertingkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di UTM ke arah yang lebih cemerlang dan terjamin dan sebagai mematuhi kehendak perundangan berkaitan dengan keselamatan & kesihatan pekerjaan, Universiti sekali lagi mempertandingkan ‘Anugerah Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan’ bagi memberi pengiktirafan dan anugerah kepada Fakulti/Unit/Bahagian/Kolej/Makmal/Bengkel yang berjaya menepati kriteria serta garis panduan yang ditetapkan oleh Universiti.
  2. Kewujudan anugerah ini banyak memberi manfaat kepada pihak Universiti memandangkan pelaksanaannya dapat membantu Universiti untuk menyediakan suasana pekerjaan dan persekitaran yang selesa, selamat dan kondusif kepada pekerja, pelajar dan mereka yang berurusan di UTM.
  3. Oleh itu, bagi menjalankan tanggungjawab tersebut, Unit Persekitaran, Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan UTM telah dilantik sebagai urusetia bagi menjalankan keseluruhan proses kerja sehingga pemenang berjaya dipilih.

 

Kategori Yang Dipertandingkan

Melalui Anugerah Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 2010 ini, kategori-kategori yang dipertandingkan adalah seperti berikut :-

    • Kategori I : Fakulti/Bahagian/Unit/Pusat Kecemerlangan
      (ruang pejabat, bilik mesyuarat dan ruang-ruang yang berkaitan)
    • Kategori II : Makmal/Bengkel
      (makmal/bengkel pengajaran & pembelajaran, bengkel/makmal penyelidikan, studio)
    • Kategori III : Kolej Kediaman
      (Pejabat Kolej, bilik-bilik, kafeteria (jika berkaitan), ruang-ruang yang berkaitan)

 

Semua Fakulti/Bahagian/Unit/Pusat Kecemerlangan dan Kolej Kediaman (Kategori I dan Kategori III) akan diaudit tanpa dicalonkan, manakala bagi Kategori Makmal/Bengkel (Kategori II), pencalonan daripada Dekan masih diperlukan.

 

Penyediaan Dokumentasi Bagi Kategori Fakulti/Bahagian/Unit/Pusat Kecemerlangan & Kategori Kolej Kediaman (Kategori I)

Pihak fakulti/bahagian/Unit/Pusat Kecemerlangan serta pihak Kolej Kediaman diwajibkan menghantar dokumen minimum berkaitan keselamatan & kesihatan pekerjaan kepada pihak urusetia bagi tujuan penilaian serta semakan awal. Dokumen tersebut perlu mengandungi butiran seperti berikut :

    1. Carta Organisasi Jawatankuasa Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan masing-masing
    2. Fungsi, tugas dan tanggungjawab Jawatankuasa Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan masing-masing
    3. Perancangan tahunan aktiviti Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan masing-masing
    4. Minit mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan masing-masing

Tarikh akhir penghantaran dokumen tersebut akan dimaklumkan kepada pihak fakulti/bahagian/unit/pusat kecemerlangan dan pihak kolej kediaman oleh urusetia melalui surat hebahan yang dikeluarkan.

Pemenang bagi setiap kategori akan dipilih setelah melalui proses pemeriksaan dan pengauditan yang akan dijalankan selepas tarikh tutup hebahan penerimaan pencalonan

 

Pencalonan Kategori makmal/bengkel (Kategori II)

Pihak fakulti/bahagian adalah diminta untuk menghantar PENCALONAN ( surat makluman kepada Urusetia ) kepada urusetia dengan memberi butiran terperinci seperti berikut :

    1. Nama Makmal/Bengkel
    2. Nombor Ruang
    3. Fungsi Makmal/Bengkel
    4. Hazad dan Kawalan

Fakulti DIWAJIBKAN untuk mencalonkan satu sahaja makmal/bengkel untuk anugerah keselamatan ini.

Makmal/bengkel yang dicalonkan hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya 5  hazad (3 hazad keselamatan dan 2 hazad kesihatan) yang disenaraikan oleh pihak makmal/bengkel.

Satu laporan ringkas mengenai tempat yang dicalonkan boleh disediakan bagi membantu penilai membuat penilaian dan pemeriksaan. Sekiranya ada, laporan ini boleh dihantar bersama pencalonan kepada Urusetia. Semua PENCALONAN mestilah melalui Dekan/Ketua Unit/Ketua Bahagian berkenaan dan dihantar kepada Urusetia untuk tindakan selanjutnya.

 

Kriteria Penilaian

Penilaian dan pemarkahan adalah dilakukan berdasarkan kepada kriteria berikut:-

Garis Panduan & Kriteria Markah
Pengurusan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 60%
Kaedah Kawalan 25%
Pelan Kecemasan 15%
Jumlah 100%