- Membolehkan staf akademik memberi tumpuan kepada kekuatan masing-masing melalui kebebasan memilih trek untuk mencapai kecemerlangan kerjaya dan universiti pada amnya.
- Merangsang minat dan semangat staf untuk meningkatkan potensi dan prestasi mengikut minat dan kecenderungan masing-masing.
- Melahirkan komuniti yang mengiktiraf kepelbagaian bakat, kekuatan dan kepentingan akademik
- Menarik, memupuk dan mengekalkan bakat terbaik dan mengoptimumkan kekuatan bakat ahli akademik.
Category Archives: FAQ BSM (Pengurusan)
Apakah Laluan Kerjaya Pelbagai Trek?
DCP (Differentiated Career Pathway) merupakan sebahagian insiatif dalam Lonjakan 2: Kecemerlangan Bakat daripada 10 lonjakkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi). DCP terhasil daripada University Transformation Programme Orange Book – Strenghtening Academic Career Pathways and Leadership Development. Pelaksanaannya adalah mulai Januari 2019.
DCP menyediakan 4 trek laluan kerjaya kepada staf akademik iaitu trek pengajaran, penyelidikan, amalan profesional dan kepimpinan institusi.
Apakah syarat-syarat bagi permohonan bersara pilihan dan bagaimana bayaran bersara pilihan dibayar?
Seseorang staf boleh memohon persaraan pilihan apabila berumur 40 tahun ke atas. Tempoh perkhidmatan yang boleh dimasuk kira tidak kurang dari 10 tahun. Semasa persaraan pilihan diluluskan staf layak dibayar ganjaran perkhidmatan dan gantian cuti rehat (jika ada). Bayaran persaraan akan dibayar apabila mencapai umur 45 bagi perempuan dan 50 bagi lelaki. Bagi staf lantikan selepas 12 April 1991, bayaran bersara mengikut umur opsyen 55/56/58.
Saya ingin mendapat penjelasan mengenai cuti tanpa rekod bagi menghadiri peperiksaan?
Cuti tanpa rekod kerana hadir peperiksaan selain dari peperiksaan perkhidmatan boleh diluluskan kepada staf tertakluk kepada kebenaran Ketua Jabatan. Jumlahnya tidak melebihi 30 hari setahun.
Saya membeli rumah melalui pinjaman bank. Saya bercadang memohon pinjaman perumahan kerajaan untuk menyelesaikan pinjaman itu. Bagaimana caranya?
Skim pinjaman perumahan kerajaan boleh dibuat bagi menyelesaikan pinjaman perumahan bank. Selain itu ada 4 jenis lagi skim pinjaman perumahan kerajaan termasuk membeli rumah siap bina, membina rumah di atas tanah sendiri, beli rumah dalam pembinaan dan membeli tanah untuk dibuat rumah. Pinjaman perumahan kerajaan ada 2 jenis iaitu secara konvensional (SPPP) dan secara islam (SPPPI). Pekeliling Perbendaharaan bil.6/1995, Surat Pekeliling Perbendaharaan bil.4/2006, Surat Pekeliling Perbendaharaan bil.10,11,12/2005
Bilakah seseorang staf perlu mengisytiharkan harta dan apakah jenis harta yang perlu diisytiharkan?
Staf dikehendaki mengisytiharkan harta apabila dilantik ke dalam perkhidmatan awam, memperolehi harta tambahan, melupuskan harta atau diminta oleh kerajaan. Harta-harta yang perlu diisytiharkan termasuklah harta tidak alih termasuk tanah, kediaman dan bangunan serta harta alih termasuk wang, syer, saham, lesen perniagaan dan kenderaan motor.
Saya ingin mendapat maklumat mengenai cuti sakit?
Cuti sakit diberikan kepada staf yang tidak sihat untuk melaksanakan tugas. Sijil cuti sakit dikeluarkan samada oleh doktor kerajaan atau doktor swasta. Kelayakan cuti sakit setahun ialah 90 hari. Jika didapati masih tidak sihat akan diberi cuti sakit tambahan sebanyak 90 hari lagi. Belum sembuh lagi akan diberi cuti sakit lanjutan separuh gaji dengan perakuan Lembaga Perubatan selama 90 hari. Jika masih belum sembuh juga akan diberi cuti sakit lanjutan selama 90 hari tanpa gaji dengan perakuan Lembaga Perubatan. Dalam tempoh ini juga akan diberi elaun bersamaan separuh gaji.
Apakah yang perlu saya lakukan untuk disahkan ke dalam perkhidmatan. Apakah implikasi jika saya tidak disahkan dalam jawatan?
Sebelum pertimbangan untuk disahkan dalam perkhidmatan seseorang staf dikehendaki memenuhi keperluan berikut :
- Memenuhi syarat tempoh percubaan 1 – 3 tahun;
- Hadir dengan jayanya kursus induksi;
- Lulus peperiksaan perkhidmatan yang disyaratkan mengikut skim perkhidmatan (tidak semua perkhidmatan mensyaratkan lulus peperiksaan);
- Diperakukan oleh Ketua Jabatan.
Jika seseorang gagal disahkan dalam perkhidmatan, implikasinya seperti berikut :
- samada dilanjutkan tempoh percubaan berdenda/tidak berdenda;
- boleh ditamatkan perkhidmatan;
- tidak layak mendapat kemudahan cuti haji;
- tidak layak memohon pinjaman perumahan kerajaan.
Bagaimanakah tawaran gaji bagi staf yang sedang berkhidmat dalam jawatan tetap dan dilantik ke jawatan lain yang lebih tinggi di UTM?
Gaji yang akan ditawarkan kepada staf yang tukar jawatan/dilantik ke jawatan baru ialah pada matagaji tertinggi hampir dengan gaji jawatan lama dan tidak kurang dari satu pergerakan gaji mendatar jawatan lama (PP Bil. 4 tahun 2002)
Saya seorang staf sedang berkhidmat dalam jawatan tetap. Saya berminat memohon jawatan lain yang lebih tinggi di UTM. Bolehkah saya memohon?
Mengikut peraturan (P.U.(A)176/2005), perkara 10; menyatakan seseorang pegawai yang sedang berkhidmat boleh dilantik ke suatu jawatan dalam skim perkhidmatan lain jika pegawai memenuhi/mematuhi syarat yang dikehendaki oleh skim perkhidmatan jawatan yang diminta.