+6 07 553 0439 bsm@utm.my
Select Page

Peminjaman Staf

DEFINISI

Peminjaman
Pelantikan mana-mana pegawai ke Perkhidmatan Awam, Pihak Berkuasa Berkanun, Pihak Berkuasa Tempatan atau mana-mana organisasi di dalam atau di luar Malaysia untuk tempoh tertentu tanpa memutuskan ikatan pegawai dengan perkhidmatan hakikinya.

Agensi Antarabangsa
Pertubuhan atau organisasi yang ditubuhkan dan dianggotai oleh lebih daripada sebuah negara atau mana-mana organisasi di mana Malaysia turut menjadi anggota atau mempunyai kepentingan, termasuklah kerajaan negara asing.

Agensi Awam
Kementarian atau jabatan kerajaan (Persekutuan dan Negeri), Pihak Berkuasa Berkanun (Persekutuan dan Negeri) dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Agensi Pembekal
Agensi awam yang meminjam atau menukar sementara pegawainya kepada agensi peminjam.

Agensi Peminjam
Agensi awam, agensi swasta atau agensi antarabangsa yang mendapat perkhidmatan pegawai agensi awam secara peminjaman.

Agensi Swasta
Agensi selain daripada agensi awam termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didaftarkan di Malaysia.


PRINSIP PEMINJAMAN

Rujuk Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2008, Bahagian II (Perkara 4)

Prinsip yang diguna pakai dan menjadi asas untuk menimbangkan peminjaman  seseorang pegawai ialah: 

(a)  peminjaman perlu dipersetujui oleh ketiga­-tiga pihak yang terbabit, iaitu  agensi pembekal, agensi peminjam dan pegawai;
 
(b)  peminjaman di antara agensi awam: 
       (i)    hendaklah  ke  gred  jawatan yang sama  atau setaraf  atau gred  jawatan yang lebih tinggi daripada gred jawatan hakiki pegawai; 
       (ii)   bagi jawatan  terbuka, jika  pelantikan  dibuat secara  peminjaman  ianya  hendaklah  menggunakan  skim perkhidmatan  hakikI 
              pegawai; dan 
       (iii)  bagi  jawatan  yang telah  ditetapkan  skim perkhidmatannya, kekosongan  jawatan hendaklah  diisi  oleh  pegawai dalam skim 
              perkhidmatan  tersebut. Sekiranya  tiada  pegawai  dalam skim  perkhidmatan  berkenaan  yang  layak untuk mengisi kekosongan 
              jawatan tersebut, pengisian boleh dibuat secara peminjaman oleh  pegawai daripada skim perkhidmatan yang lain. Pengisian secara 
              peminjaman  ini  hendaklah  menggunakan  skim  perkhidmatan  jawatan pinjaman.

(c)  peminjaman  ke  gred  jawatan  yang lebih rendah  daripada  gred  jawatan  hakiki pegawai tidak dibenarkan; 

(d)  pegawai akan  ditawarkan  syarat peminjaman  yang  mana secara  pakejnya tidak  kurang baik (no less  favourable)  berbanding 
       dengan jawatan hakiki khususnya dari  segi  gaji, elaun  dan kemudahan. Kemudahan  dalam  konteks ini  merujuk kepada kemudahan cuti,
       kediaman, perubatan  dan  kemudahan  lain yang  bersesuaian  dengan  bidang tugas jawatan pinjaman; 

(e)  tempoh peminjaman pertama yang boleh diluluskan adalah sehingga tiga (3) tahun. Tempoh  keseluruhannya  tidak digalakkan
       melebihi lima (5)  tahun untuk memastikan sesuatu peminjaman itu tidak berpanjangan.

(f)  dibatalkan

(g)  dibatalkan

(h)  dibatalkan

(i)   dibatalkan

(j)   dibatalkan

(k)  dibatalkan

(l)   dibatalkan

(m) sekiranya kenaikan pangkat tersebut menyebabkan gred jawatan pinjaman lebih rendah dari gred jawatan hakiki pegawai, peminjaman
      pegawai yang sedang berkuat kuasa hendaklah ditamatkan. pegawai dibenarkan menghabiskan baki tempoh peminjaman yang sedang
      berkuat kuasa secara KUP atas gred jawatan hakiki. Agensi peminjam hendaklah memohon kepada Bahagian Pembangunan Organisasi
      (BPO), JPA untuk meminda butiran perjawatan bagi membolehkan pegawai mengisi jawatan pinjaman tersebut secara KUP. Pelanjutan
      tempoh peminjaman pegawai selepas menghabiskan baki tempoh peminjaman tersebut tidak dibenarkan. Pelarasan gaji dan pewujudan
      jawatan secara KUP berikutan kenaikan pangkat di gred jawatan hakiki adalah seperti Lampiran C dan Lampiran D;

(n) pembayaran gaji, elaun dan kemudahan yang layak diterima oleh pegawai dalam tempoh peminjaman adalah tanggungjawab agensi
      peminjam kecuali dinayatakan sebaliknya;

(o) bagi peminjaman ke agensi antarabangsa, sekiranya gaji, elaun dan kemudahan yang layak diterima oleh pegawai dalam tempoh
     peminjaman tidak dapat dipenuhi agensi peminjam sedangkan peminjaman pegawai adalah perlu, Kerajaan akan menampung sebahagian
     atau kesemua jumlah bayaran yang kurang itu. Kaedah ini memerlukan satu memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui oleh
     Kerajaan;

(p) bagi peminjaman ke Pihak Berkuasa Berkanun, Pihak Berkuasa Tempatan, agensi swasta dan agensi antarabangsa, adalah menjadi
      tanggungjawab agensi peminjam untuk mencarum kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebanyak 17.5% daripada
      gaji jawatan hakiki pegawai jika pegawai telah diberi taraf berpencen. Sekiranya pegawai berada dalam Skim Kumpulan Wang Simpanan
      Pekerja (KWSP), agensi peminjam dikehendaki mencarum kepada kumpulan wang berkenaan mengikut undang-undang KWSP yang berkuat
      kuasa;

(q) pembayaran pelarasan gaji dan elaun dalam tempoh peminjaman, jika ada, adala tanggungjawab agensi peminjam. Manakala pelarasan gaji
     dan elaun di jawatan hakiki secara isyarat dibuat oleh agensi pembekal;

(r) pelantikan secara peminjaman tidak akan menyebabkan perkhidmatan hakiki pegawai terputus kecuali pegawai berkenaan ditukar tetap ke
     agensi peminjam, meletak jawatan, ditamatkan perkhidmatan, dibuang kerja atau bersara;

(s) pegawai boleh memohon untuk menduduki Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dalam skim perkhidmatan hakiki semasa dalam tempoh
      peminjaman. Agensi peminjam hendaklah memberi pertimbangan sewajarnya bagi membenarkan pegawai menduduki PTK tersebut;

(t) pegawai boleh dipertimbangkan oleh agensi pembekal untuk dinaikkan pangkat dalam perkhidmatan hakiki semasa dalam tempoh
     peminjaman;

(u) jika pegawai bersara dalam tempoh peminjaman, faedah persaraan adalah berdasarkan jawatan hakiki mengikut peraturan pencen yang
      berkuat kuasa;

(v) Pihak Berkuasa Tatatertib bagi pegawai pinjaman ialah Pihak Berkuasa Tatatertib perkhidmatan hakiki (agensi pembekal). Jika pegwai
      melakukan sebarang salah laku yang yang membolehkan tindakan tatatertib diambil ke atasnya, agensi peminjam boleh menamatkan
      peminjaman pegawai. Agensi pembekal boleh meminta agensi peminjam membuat laporan dan memberikan bukti atau saksi mengenai salah
      laku pegawai, jika perlu;

(w) penilaian prestasi tahunan pegawai disediakan oleh agensi peminjam. Jika pegawai dipinjamkan ke jawatan Ketua Eksekutif Pihak
       Berkuasa Berkanun, penilaian prestasi pegawai akan disediakan oleh Ketua Setiausaha Kementarian atau Setiausaha Kerajaan Negeri
       yang bertanggungjwab ke atas agensi peminjam;

(x) agensi pembekal, agensi peminjam atau pegawai boleh memohon menamat atau memendekkan tempoh peminjaman pegawai dengan
      memberi tiga puluh (30) hari notis atau tempoh yang sesuai (bagi pegawai yang dipinjamkan ke agensi swasta dan antarabangsa). Tempoh
      notis boleh dipendekkan dengan persetujuan agensi pembekal, agensi peminjam atau pegawai; dan

(y) apabila kembali ke perkhidmatan hakiki, pegawai akan menerima gaji, elaun dan kemudahan di perkhidmatan hakiki, seolah-olah pegawai
      tidak pernah dipinjamkan. Pegawai tidak berhak menuntut supaya insentif peminjaman dikekalkan atau dibawa ke perkhidmatan hakiki.

Peminjaman (Kepada Agensi Awam, Swasta atau Antarabangsa)

Sebarang Permohonan Peminjaman Staf Akademik, sila kemukakan melalui Sistem Atracks.

 

1. Berapakah kategori peminjaman?

Jawapan : 
Terdapat tiga (3) kategori peminjaman  pegawai iaitu :
i)    Peminjaman di antara Agensi Awam
ii)   Peminjaman kepada Agensi Swasta
iii)  Peminjaman kepada Agensi Antarabangsa

2. Berapa lamakah tempoh peminjaman yang boleh diluluskan?

Jawapan :
Tempoh peminjaman pertama yang boleh diluluskan adalah sehingga tiga (3) tahun. Tempoh keseluruhannya tidak digalakkan melebihi lima (5) tahun untuk memastikan sesuatu peminjaman itu tidak berpanjangan.

3. Apakah syarat pegawai yang diperakukan untuk dilantik secara peminjaman?

Jawapan :
Pegawai yang diperakukan untuk dilantik secara peminjaman hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut :
i)    Tetap dan disahkan dalam perkhidmatan.
ii)   Memenuhi syarat skim perkhidmatan yang berkuat kuasa di gred jawatan pinjaman.
iii)  Mencapai prestasi 80% dan ke atas berdasarkan Laporan Penilaian Prestasi Tahunan terkini.
iv) Mempunyai kompetensi yang sesuai dengan bidang tugas gred jawatan pinjaman.
v)  Pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional apabila dipinjamkan ke gred lebih tinggi hendaklah telah berkhidmat di gred jawatan hakiki tidak kurang daripada lima (5) tahun kecuali :
     a)  memiliki PhD tidak kurang daripada dua (2) tahun; atau
     b)  memiliki Sarjana tidak kurang daripada tiga (3) tahun

4. Berapakah kelayakan cuti bagi pegawai yang dilantik secara peminjaman?

Jawapan :
Pegawai yang dipinjamkan di antara agensi awam layak mendapat kemudahan cuti berdasarkan kelayakan di jawatan pinjaman mengikut peraturan yang berkuat kuasa.

5. Sekiranya pegawai dipinjamkan ke Agensi Antarabangsa, apakah tindakan yang perlu diambil?

Jawapan :
PSM PTJ
PSM PTJ bertanggungjawab memaklumkan kepada LHDNM dalam tempoh tiga puluh (30) hari sebelum tarikh pinjaman berkuat kuasa dengan melengkapkan Borang CP21 (Pemberitahuan Oleh Majikan Bagi Pekerja Yang Hendak Meninggalkan Malaysia) dan menghantar ke cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan pegawai.

Pegawai
Pegawai perlu memaklumkan secara bertulis (surat) beserta dokumen sokongan yang berkaitan kepada cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan pegawai berhubung status pegawai yang tidak mempunyai apa-apa pendapatan di Malaysia disebabkan akan/telah bekerja di luar negara.

(Dilawati 302 kali, 1 lawatan hari ini)