Universiti Teknologi Malaysia (UTM) komited untuk memastikan akses kepada pendidikan tinggi diberikan secara adil dan tanpa diskriminasi melalui pelaksanaan Polisi Diversiti dan Inklusif UTM yang berkuat kuasa pada 6 Mac 2019. Polisi ini menggalakkan kesamarataan peluang kepada semua individu untuk mendapatkan akses kepada pendidikan dan pekerjaan tanpa mengira latar belakang kepelbagaian masing-masing.
Secara khusus, Lampiran A polisi ini merujuk kepada Polisi dan Prosedur Pengambilan Pelajar Prasiswazah UTM yang menetapkan bahawa proses pengambilan pelajar dilaksanakan secara adil berdasarkan prinsip meritokrasi tanpa diskriminasi. Pendekatan ini mencerminkan komitmen UTM untuk memastikan keputusan kemasukan pelajar dibuat berdasarkan kelayakan dan syarat kemasukan yang ditetapkan, bukannya berdasarkan pertimbangan yang bersifat diskriminasi.
POLISI DIVERSITI DAN INKLUSIF
POLISI KESAMARATAAN DALAM PERKHIDMATAN
Pelaksanaan Dasar Kemasukan Pelajar yang Saksama dan Tanpa Diskriminasi
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa komited untuk memastikan proses pengambilan dan kemasukan pelajar dilaksanakan secara adil, telus dan saksama selaras dengan dasar serta aspirasi Kerajaan dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi yang inklusif dan berasaskan merit.
Sehubungan itu, UTM mengguna pakai Pekeliling Kemasukan ke Universiti Awam (UA) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) sebagai panduan dalam menguruskan proses kemasukan pelajar. Pekeliling tersebut merangkumi aspek penyelarasan permohonan, syarat am dan khas kemasukan, pemprosesan, kriteria pemilihan serta hebahan keputusan bagi setiap sesi akademik.
Pelaksanaan proses kemasukan adalah berdasarkan kelayakan akademik, pencapaian kokurikulum, kesesuaian bidang pengajian, pematuhan syarat kemasukan yang ditetapkan serta kriteria pemilihan yang berkuat kuasa.
UTM tidak mengamalkan sebarang bentuk diskriminasi dalam proses kemasukan pelajar. Selaras dengan ketetapan KPT, program pengajian di UTM terbuka kepada semua calon yang memenuhi syarat kelayakan dan kriteria kemasukan yang ditetapkan. Pemilihan calon dibuat berdasarkan merit, kelayakan dan keperluan program pengajian, tertakluk kepada kapasiti tempat yang tersedia.
Pendekatan ini mencerminkan komitmen UTM untuk menyokong dasar Kerajaan dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi secara adil, inklusif dan saksama tanpa mengira latar belakang calon, di samping memastikan proses kemasukan dilaksanakan secara berintegriti dan berlandaskan prinsip meritokrasi.