Polisi Kemasukan dan Penyertaan Wanita
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui UniTP Green Book: Enhancing University Board Governance and Effectiveness telah menetapkan kerangka tadbir urus yang menekankan prinsip pendidikan untuk semua (Education for All), merangkumi aspek keterangkuman, kesaksamaan dan kelestarian. Kerangka ini menjadi panduan kepada universiti awam termasuk UTM dalam memperkukuh komitmen terhadap kesaksamaan gender dan peluang pendidikan.
UniTP Green Book turut menekankan kepentingan kepelbagaian komposisi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), khususnya menangani kekurangan perwakilan wanita dalam badan tadbir urus universiti. Universiti disarankan mengambil langkah meningkatkan kepelbagaian komposisi lembaga melalui penilaian keberkesanan tadbir urus dan pelan penambahbaikan.
Kerangka dasar ini menyediakan asas tadbir urus bagi memperkukuh keterangkuman dan kesaksamaan gender dalam pengurusan universiti, termasuk menyokong penyertaan wanita dalam kepimpinan dan akses kepada pendidikan tinggi.
Polisi Anti-Diskriminasi
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menunjukkan komitmen terhadap prinsip kesaksamaan dan antidiskriminasi melalui pelaksanaan Polisi Diversiti dan Inklusif yang berkuat kuasa pada 6 Mac 2019. Polisi ini bertujuan mewujudkan persekitaran universiti yang inklusif, saksama dan bebas daripada diskriminasi dalam semua urusan serta aktiviti universiti.
Polisi ini terpakai kepada seluruh warga universiti, termasuk pelajar, staf, pemegang taruh, pelawat, kontraktor dan pihak lain yang terlibat dalam aktiviti UTM. Ia turut mengiktiraf kepelbagaian berdasarkan jantina dan menetapkan prinsip layanan yang adil serta peluang yang sama rata dalam persekitaran universiti.
Melalui pelaksanaan polisi ini, UTM memperkukuh komitmen untuk mencegah diskriminasi, buli, gangguan dan keganasan serta memastikan setiap individu dilayan dengan hormat dan bermaruah tanpa mengira latar belakang.
POLISI DIVERSITI DAN INKLUSIF
Polisi Perlindungan Pelapor Diskriminasi
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mempunyai mekanisme perlindungan pemberi maklumat melalui pelaksanaan Prosedur Kerahsiaan Pemberi Maklumat UTM yang berkuat kuasa pada 10 November 2024. Prosedur ini menyediakan perlindungan dari aspek kerahsiaan identiti dan maklumat peribadi pemberi maklumat serta mekanisme untuk melaporkan tindakan yang memudaratkan akibat pendedahan maklumat.
UTM boleh menggunakan Prosedur Kerahsiaan Pemberi Maklumat sedia ada sebagai asas, bagi melaksanakan perlindungan khusus terhadap pelapor diskriminasi, termasuk perlindungan daripada kerugian akademik dan pekerjaan.
POLISI KERAHSIAAN PEMBERI MAKLUMAT UTM
KEMUDAHAN CUTI
PEKELILING PERKHIDMATAN SUMBER MANUSIA
Polisi Cuti Bersalin (Maternity)
Universiti meluluskan pemakaian Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2017 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam.
Pekeliling ini bertujuan untuk melaksankan keputusan Kerajaan berhubung kemudahan Cuti Bersalin kepada Pegawai Perkhidmatan bagi menjaga kebajikan penjawat awam wanita.
PEKELILING PENTADBIRAN BIL. 10/2018
PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 5 TAHUN 2017
Polisi Cuti Bapa (Paternity)
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyediakan kemudahan Cuti Tanpa Rekod (CTR) Kelompok bagi staf lelaki yang isterinya bersalin, selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian SR.5.7.1 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan berkuat kuasa mulai 1 Disember 2024, tertakluk kepada penerimaan dan pemakaian dasar tersebut oleh UTM.
Kemudahan ini bertujuan memberi peluang kepada staf lelaki untuk membantu isteri dalam urusan selepas bersalin, termasuk memberikan sokongan penjagaan dan kebajikan keluarga. Cuti ini boleh diambil secara fleksibel antara satu (1) hingga 20 hari dalam satu tahun kalendar, tertakluk kepada baki kelayakan keseluruhan CTR Kelompok yang maksimum 20 hari setahun. Kemudahan Cuti Isteri Bersalin dihadkan kepada lima (5) kali sepanjang tempoh perkhidmatan dan tertakluk kepada syarat serta kelulusan Ketua Jabatan.
Pelaksanaan kemudahan ini mencerminkan keprihatinan UTM terhadap kesejahteraan staf, sokongan kepada tanggungjawab keibubapaan serta usaha memupuk keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan berkeluarga (work-life balance).