Nomenklatur UTM merupakan satu sistem penamaan yang tersusun dan seragam bagi entiti serta jawatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Inisiatif ini dibangunkan bagi memperkukuh tadbir urus organisasi melalui penyeragaman struktur entiti, penggunaan nama jawatan serta penetapan hierarki organisasi yang lebih sistematik dan jelas.
Usaha penyelarasan struktur organisasi Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UTM telah bermula pada tahun 2019 dengan pengelasan entiti mengikut tiga tahap, iaitu Jabatan, Pejabat/Bahagian/Pusat serta Seksyen/Unit.
Jadual Nomenklatur Universiti Teknologi Malaysia
Pada tahun 2024, Task Force Semakan Governan yang ditubuhkan pada 31 Januari 2024 telah melaksanakan kajian serta semakan terhadap struktur PTJ utama Universiti. Semakan tersebut mengenal pasti beberapa isu, antaranya pertindihan fungsi antara PTJ, skop tugas yang kurang jelas, penggunaan nama entiti dan jawatan yang tidak seragam serta ketidakselarasan pembayaran Elaun Tugas Khas (ETK) Pentadbiran bagi jawatan yang sama.
Pembangunan Nomenklatur UTM dilaksanakan bagi menyediakan satu panduan yang jelas dan menyeluruh dalam penetapan struktur organisasi, pengelasan entiti serta penamaan jawatan. Inisiatif ini turut mengambil kira keperluan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber, memperjelas akauntabiliti dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan Universiti.
Pembangunan Nomenklatur UTM mengambil kira beberapa asas pertimbangan utama, iaitu kompleksiti fungsi dan tugas, keluasan skop serta tanggungjawab, bidang kuasa, sumber manusia, keperluan penambahbaikan struktur dan keterlihatan sesuatu jawatan. Selain itu, definisi operasi (Operational Definition) turut disediakan bagi setiap kategori entiti dan jawatan untuk memastikan penetapan struktur mempunyai asas yang jelas, konsisten dan mengelakkan kekeliruan dalam pelaksanaannya.
Definisi Operasi Entiti dan Jawatan