Peletakan dan Pelepasan Jawatan

Peraturan, Dasar dan Prosedur mengenai peletakan jawatan, pemendekan notis peletakan jawatan dan pelepasan jawatan telah dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 [P.U.(A) 1/2012].

“notis peletakan jawatan” 
bermaksud pernyataan rasmi secara bertulis oleh pegawai mengenai hasratnya untuk meletak jawatan
“pelepasan jawatan” 
bermaksud pemakluman secara rasmi bertulis oleh pegawai kepada Ketua Jabatan mengenai hasratnya untuk meninggalkan jawatan yang sedang disandang untuk dilantik ke jawatan lain di dalam Universiti Teknologi Malaysia
“peletakan jawatan” 
bermaksud pemakluman untuk berhenti berkhidmat daripada Perkhidmatan Awam dengan mengemukakan notis peletakan jawatan kepada Ketua Jabatan atas sebab dilantik ke jawatan dalam skim perkhidmatan yang sama atau berlainan dalam perkhidmatan awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun (Persekutuan dan Negeri) dan Pihak Berkuasa Tempatan; atau pegawai tidak lagi berhasrat untuk meneruskan perkhidmatannya dengan perkhidmatan Kerajaan.
“pemendekan notis” 
bermaksud tempoh notis peletakan jawatan pegawai dipendekkan dari tempoh notis sebenar yang ditetapkan dengan kelulusan Ketua Jabatan;

PROSEDUR

Pelepasan Jawatan

  • Pegawai hendaklah mengemukakan surat pelepasan jawatan secara rasmi bertulis berserta dengan surat tawaran pelantikan kepada Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar melalui Ketua Jabatan dalam tempoh 30 hari sebelum tarikh kuat kuasa melapor diri di jabatan baru dan disalinkan kepada Ketua Perkhidmatan sebaik sahaja menerima surat tawaran pelantikan.
  • Pelepasan jawatan pegawai yang telah berkuat kuasa tidak boleh ditarik balik. Walau bagaimanapun, pelepasan jawatan yang belum berkuat kuasa boleh ditarik balik dengan syarat pegawai mengemukakan notis secara bertulis kepada Ketua Jabatan dan disalinkan kepada Bahagian Sumber Manusia dan diterima oleh Ketua Jabatan sebelum tarikh kuat kuasa pelepasan jawatan.

PROSEDUR

Peletakan Jawatan

  • Pegawai hendaklah mengemukakan notis peletakan jawatan 30 hari secara rasmi bertulis kepada Ketua Jabatan dan disalinkan kepada Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar.
  • Tempoh notis peletakan jawatan pegawai perlulah menepati tempoh notis yang ditetapkan. Tempoh notis bermula dari tarikh yang dinyatakan dalam notis yang dikemukakan kepada Ketua Jabatan sehingga tarikh kuat kuasa peletakan jawatan. Sekiranya notis peletakan jawatan tidak menepati tempoh tersebut, Bahagian Sumber Manusia berhak menuntut bayaran sebulan gaji sebagai ganti notis kecuali bagi pegawai yang diluluskan pemendekan tempoh notis;
  • Pegawai perlu memastikan tanggungjawabnya menguruskan hutang dan ikatan perjanjiannya dengan pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya ada dan perlu melengkapkan Borang Meninggalkan Perkhidmatan peletakan jawatan yang dibuat oleh pegawai itu berkuat kuasa.

PROSEDUR

Pemendekan Notis

Bagi pegawai yang layak memohon pemendekan notis seperti dibawah, permohonan pemendekan notis peletakan jawatan hendaklah dikemukakan kepada Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar.

(i) pegawai dilantik ke mana-mana jawatan dalam perkhidmatan awam Negeri, pihak berkuasa berkanun (Persekutuan dan Negeri) atau pihak berkuasa tempatan;

(ii) pegawai ditawarkan pelantikan ke mana-mana jawatan dalam syarikat yang Kerajaan mempunyai kepentingan;

(iii) pegawai atau pasangannya, anak atau ibu bapa pegawai itu mengalami masalah kesihatan;

(iv) pegawai menghadiri kursus atau latihan yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan; atau

(v) apa-apa sebab lain yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

(Dilawati 80 kali, 1 lawatan hari ini)