Tafsiran

Penanggungan Kerja adalah pelaksanaan tugas suatu jawatan lain oleh seseorang pegawai di samping melaksanakan tugas jawatannya sendiri bagi suatu tempoh yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pemilih yang berkenaan.

Ianya boleh dilakukan sekiranya terdapat kekosongan jawatan secara hakiki atau operasi dan tugas jawatan yang kosong itu mustahak dilaksanakan secara berterusan supaya fungsi organisasi tidak terjejas.

Tempoh Penanggungan

Tempoh penanggungan kerja hendaklah tidak melebihi enam (6) bulan. Sekiranya ada keperluan, Ketua Jabatan hendaklah membuat permohonan semula supaya pegawai diluluskan untuk terus menanggung kerja kepada Bahagian Sumber Manusia.

Jika penanggungan kerja pegawai terputus selama empat belas (14) hari atau lebih, Ketua Jabatan hendaklah membuat perakuan baru kepada Pihak Berkuasa Melulus sama ada meneruskan penanggungan kerja pegawai berkenaan atau memperaku pegawai lain.

Pegawai yang menanggung kerja tidak boleh mengambil Cuti Rehat. Jika pegawai ada mengambil Cuti Rehat, Elaun Penanggungan Kerja hanya akan dikira mulai tarikh pegawai kembali bertugas selepas cuti rehat tersebut.

Pegawai Yang Layak Menanggung Kerja

  1. Pegawai yang telah disahkan dalam perkhidmatan;
  2. Sekiranya tiada pegawai yang telah disahkan dalam perkhidmatan, pegawai yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya setahun boleh diperakukan; dan
  3. Keutamaan untuk penanggungan kerja hendaklah diberi kepada pegawai yang paling layak dari segi pengalaman, kelayakan, kemahiran, kepakaran dan berprestasi baik.

Kadar Elaun

Kadar Elaun Penanggungan Kerja dikira berdasarkan gaji permulaan terendah bagi jawatan skim perkhidmatan yang berkenaan. Bagi penanggungan kerja bagi jawatan yang mempunyai gred fleksi, Kadar Elaun Penanggungan Kerja dikira berdasarkan gred gaji yang terendah.

(Dilawati 27 kali, 1 lawatan hari ini)