+(6)07-5533333 jabatanpendaftar@utm.my

SOALAN LAZIM

PERSARAAN PILIHAN

 

1. BILAKAH SESEORANG ANGGOTA BOLEH MEMOHON BERSARA SECARA PILIHAN?

Seksyen 12, Akta Pencen 1980 (Akta 227), memperuntukkan kemudahan untuk anggota perkhidmatan awam bersara secara pilihan (“optional retirement”) sekiranya berumur sekurang-kurangnya 40 tahun pada tarikh persaraan yang dipohon dan beliau mempunyai tempoh perkhidmatan yang boleh diambil kira tidak kurang daripada 10 tahun.

Bagi maksud untuk menentukan mula pencen boleh dibayar kepada pesara pilihan, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 12 (3) Akta 227 memperuntukkan seperti berikut:

(i) Bagi anggota yang dilantik sebelum 12 April 1991, pencen akan mula dibayar pada 50 tahun bagi pegawai lelaki dan 45 tahun bagi pegawai perempuan; termasuk pegawai perkhidmatan bomba yang berpangkat rendah dan ke bawah; pegawai polis berpangkat rendah daripada Penolong Penguasa Polis; pegawai penjara berpangkat rendah daripada Penguasa; dan jururawat lelaki di hospital mental.

(ii) Bagi anggota yang dilantik pada atau selepas 12.4.1991, pencen akan dibayar apabila mencapai umur 55 tahun.

 

2. SAYA TELAH MEMILIH OPSYEN BERSARA WAJIB PADA UMUR 60 TAHUN PADA AWALNYA. WALAU BAGAIMANAPUN SAYA TELAH MEMOHON UNTUK BERSARA PILIHAN KETIKA SAYA GENAP 55 TAHUN PADA 1 OGOS 2015. ADAKAH GANJARAN, BAYARAN PENCEN DAN SEBAGAINYA AKAN DIKENAKAN CUKAI OLEH KERAJAAN.

Semakan dengan pihak LHDN, ganjaran dan bayaran pencen yang tuan terima tidak akan dikenakan cukai. Ini berasaskan semua bayaran berkenaan adalah menggunakan wang awam (Mana-mana organisasi yang pencennya dibiayai bukan wang awam, cukai akan dikenakan). Walau bagaimanapun, bayaran cukai akan dikenakan sekiranya tuan menikmati 2 kemudahan pencen dalam masa yang sama. Contohnya tuan dan isteri tuan menerima pencen dalam masa yang sama. Salah seorang akan dikenakan cukai.

3. BOLEHKAH PESARA/PENERIMA PENCEN MENUKAR AKAUN BANK?

Pesara/penerima pencen boleh menukar akaun bank mereka tetapi notis sekurang-kurangnya dua bulan secara bertulis hendaklah diberi kepada Bahagian Pencen JPA sebelum akaun lama ditutup. Ini adalah untuk mengelakkan terputusnya bayaran pencen bulanan mereka. Dalam keadaan di mana pesara/penerima pencen hilang buku akaun, adalah dinasihatkan agar akaun baru dibuka di bank yang sama supaya bayaran pencen boleh dipindahkan ke akaun baru tersebut. Jika akaun baru dibuka di bank lain, pembayaran pencen mungkin tergendala oleh kerana bayaran pencen yang telah dihantar untuk dikreditkan ke dalam akaun lama perlu dikembalikan oleh bank berkenaan kepada Bahagian Pencen JPA untuk diproses semula bagi pengkreditan ke dalam akaun baru di bank lain.

4. NAMA SAYA AIMAN BIN HAKIM , SAYA BERUMUR 45 TAHUN DAN TELAH BERKHIDMAT SELAMA 18 TAHUN (DILANTIK PADA 1 OKTOBER 1999) SEBAGAI PENOLONG PEGAWAI TADBIR DI SEKOLAH KEJURUTERAAN AWAM. SAYA TELAH MEMILIH SKIM PENCEN DAN MEMILIH OPSYEN UMUR PERSARAAN 60 TAHUN.

JIKA SAYA INGIN BERSARA PADA 1 DISEMBER 2018, BAGAIMANAKAH CARA UNTUK SAYA MEMOHONNYA? APAKAH FAEDAH-FAEDAH PERSARAAN YANG AKAN SAYA TERIMA? BETULKAH PENCEN BULANAN SAYA HANYA AKAN DIBAYAR PADA UMUR SAYA 60 TAHUN?

Mengikut Seksyen 12, Akta Pencen 1980 :

Syarat-syarat memohon persaraan pilihan:

  • Berumur sekurang-kurangnya 40 tahun pada tarikh kuatkuasa persaraan pilihan;
  • Berkhidmat sekurang-kurangnya selama 10 tahun dalam perkhidmatan yang boleh diambilkira (tanpa sebarang cuti tanpa gaji, cuti berlebihan atau tempoh yang tidak layak); dan
  • Mendapat sokongan Ketua Jabatan

Cara memohon? 

  • Hantar surat permohonan kepada Ketua Jabatan
  • Permohonan dihantar ke JPA/KWAP melalui perakuan dan sokongan Ketua Jabatan
  • Dokumen yang lengkap perlu dikemukakan ke JPA/KWAP dalam tempoh tidak kurang dari 3 bulan daripada tarikh persaraan pilihan (Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 tahun 2003)

 Faedah-faedah yang bakal diterima setelah diluluskan persaraan pilihan?

  • Award Wang Tunai Gantian Cuti Rehat (GCR)

            Formula Perkiraan: 1/30 x GCR x Gaji (gaji pokok termasuk imbuhan tetap)

  • Ganjaran perkhidmatan (gratuity)

            Formula Perkiraan: 7.5% x tempoh perkhidmatan dalam bulan x gaji pokok akhir

   Bila pencen bulanan akan dibayar?

  • Bergantung kepada tarikh lantikan pesara. Sekiranya pesara dilantik sebelum 12 April 1991, jika ingin bersara pilihan, maka pencen bulanan akan mula dibayar kepada tarikh lantikan pesara:-
  1. a) pada umur 45 tahun bagi semua anggota/pegawai wanita, anggota polis berpangkat rendah daripada ASP (Inspektor ke bawah), anggota bomba berpangkat rendah, pegawai penjara (bawah dari pangkat penguasa penjara) jururawat lelaki yang bertugas di hospital mental Kerajaan; dan
  2. b) pada umur 50 tahun bagi semua anggota / pegawai lelaki selain jawatan di atas (a).

 

Sekiranya anda dilantik selepas 12 April 1991, sekiranya anda ingin bersara pilihan, pencen akan mula dibayar kepada anda apabila anda mencapai umur 55 tahun, walaupun opsyen umur persaraan wajib anda adalah pada 60 tahun, anda tetap akan menerima pada umur 55 tahun dan tidak sebelum umur itu.Ini bagi menjawab soalan ke 3 puan di atas. Peraturan ini adalah sepertimana pindaan yang telah dibuat pada tahun 2011 dan masih berkuatkuasa sehingga ke hari ini.

** tiada sebarang konsep persaraan pilihan bagi penjawat awam yang memilih skim KWSP. Anda dikira meletakkan jawatan dan anda hanya layak menuntut caruman majikan dan caruman pekerja/anggota sahaja, tiada sebarang faedah persaraan dan perubatan akan diberikan kepada anda sekeluarga

5. APAKAH PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB SEORANG BAKAL PESARA?

Bakal pesara perlu memastikan Jabatan mengemukakan dokumen persaraan yang lengkap ke KWAP tidak lewat 3 bulan sebelum tarikh persaraan untuk membolehkan faedah persaraan dibayar dalam masa yang sepatutnya.

 6. APAKAH YANG PERLU DILAKUKAN SEKIRANYA TERDAPAT KENAIKAN PANGKAT, PERGERAKAN GAJI ATAU SEBARANG PERUBAHAN KEPADA PERKHIDMATAN DAN GAJI AKHIR SETELAH BERSARA?

Pesara perlu memastikan Jabatan akhir mengemukakan kenyataan perkhidmatan yang telah dikemaskini ke KWAP untuk hitung semula faedah persaraan.

7. APAKAH BAYARAN PENCEN BULANAN MELALUI SKIM A DAN SKIM B

Bayaran pencen melalui Skim A adalah pembayaran pencen bulanan secara kredit terus ke dalam akaun pesara / penerima pencen manakala cara bayaran melalui Skim B mengkehendaki pesara / penerima pencen atau wakil dikehendaki hadir ke bank setiap bulan untuk menandatangani borang tuntutan pencen di kaunter bank sebelum bayaran pencen dikreditkan ke dalam akaun. Cara bayaran melalui Skim B ini biasanya dibuat kepada pesara yang uzur dan anak cacat yang menerima pencen.

8. APA PERLU WARIS LAKUKAN APABILA PESARA ATAU PENERIMA PENCEN MENINGGAL DUNIA DAN TIDAK MEMPUNYAI WARIS YANG LAYAK MENERIMA PENCEN TERBITAN?

Jika pesara ataupun penerima pencen meninggal dunia dan tiada orang yang layak lagi untuk menerima Pencen Terbitan, waris hendaklah mengambil tindakan-tindakan berikut:

(i)         Memaklumkan kepada BP, JPA dengan segera tentang kematian pesara ataupun penerima pencen tersebut dan sertakan:

  • 1 salinan sijil mati gemulah;
  • Kad Pesara yang asal;
  • Waran yang masih belum ditunaikan, jika berkenaan.

(ii)        Bahagian Persaraan, JPA akan menguruskan baki pencen (jika ada) dan bayaran akan dibuat kepada waris yang terdekat. Waris hendaklah mengemukakan 1 salinan Kad Pengenalan beliau.

SOALAN LAZIM

PENCEN TERBITAN

1. SIAPAKAH YANG LAYAK MENERIMA GANJARAN TERBITAN DAN PENCEN TERBITAN ?

  • Balu atau duda
  • Duda kepada anggota Perkhidmatan Awam dan BBKT yang telah berkhidmat pada dan selepas 1.7.1980 dan mati dalam perkhidmatan/selepas bersara
  • Anak-anak gemulah yang masih dibawah umur 21 tahun masih menuntut di Institusi Pendidikan Tinggi bagi mendapat diploma / ijazah pertama dan belum berkahwin (anak angkat anak tiri dan anak tak sah taraf)
  • Anak-anak cacat otak atau anggota secara kekal dan tidak berupaya untuk menanggung nafkah sendiri.

     

      Ganjaran Terbitan Sahaja Diterima:

  • Ibu kepada anggota bujang atau bapa (jika ibu meninggal dunia)
  • Wakil yang sah di sisi undang-undang

      

      Pencen Tanggungan Diterima:

  • Balu
  • Duda dalam tanggungan yang mengalami cacat otak atau hilang upaya jasmani secara kekal dan tiada upaya menanggung diri sendiri;
  • Anak, terhad kepada enam orang sahaja
  • Ibu atau bapa (jika tiada ibu) –   Ibu atau bapa yang bergantung sepenuhnya atau sebahagian besar nafkah kepada gemulah.

 

2. BAGAIMANA MEMOHON APABILA BERLAKU KEMATIAN DALAM PERKHIDMATAN

      Tindakan Oleh Balu / Duda / Waris

  • Laporkan segera kepada Ketua Jabatan di mana anggota berkhidmat; dan
  • Kemukakan salinan dokumen-dokumen berikut:
    • salinan sijil kematian
    • salinan sijil perkahwinan / sijil pendaftaran perkahwinan.  Walau bagaimanapun Surat Akuan Balu / Duda Yang Sah boleh diterima jika sijil berkenaan tidak diperolehi salinannya dari pihak-pihak berkenaan.
    • salinan sijil kelahiran / salinan kad pengenalan anak-anak yang berumur di bawah 21 tahun
    • salinan surat pengambilan dan pengesahan anak angkat, (jika berkenaan)
    • dokumen-dokumen mengenai anak cacat dari Pakar Perubatan Kerajaan [Borang JPA.BP.UMUM.B04] dan Laporan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat serta gambar penuh anak cacat, (jika berkenaan)
    • sekeping gambar balu / duda (mana yang berkenaan)
    • Surat Akuan Pengesahan Penjaga [Borang JPA.BP.SPT.B02] (jika terdapat anak di bawah umur yang tidak di jaga oleh balu / duda).

 

      Tindakan oleh Ketua Jabatan

      Borang-borang yang perlu diisi dan dokumen yang kemukakan oleh Ketua Jabatan

  • Permohonan Pencen Tanggungan akibat kemalangan dalam perjalanan dan bencana
  • Permohonan Pencen Terbitan dan / Ganjaran Terbitan – Borang JPA.BP.SPT.B01a
  • Sijil Akuan Berhutang / Tidak Berhutang – Borang JPA.BP.UMUM.B01
  • Gambar berukuran pasport, tandatangan serta cop jari kedua-dua ibu jari penerima pencen.
  • Maklumat mengenai alamat, cara pembayaran yang di kehendaki, anak di bawah umur 21 tahun, pengakuan serta tandatangan dan cop ibu jari pemohon.
  • Maklumat mengenai opsyen yang di buat di bawah  Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pencen 1980.
  • Salinan kenyataan perkhidmatan dan kenyataan cuti gemulah yang kemas kini.
  • Surat penyelesaian cukai pendapatan
  • Laporan siasatan polis dan / keputusan ‘Inquest’ oleh mahkamah bagi kes kemalangan maut
  • Laporan sosio – ekonomi ibu /bapa/ (jika tiada ibu) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
  • Penyata KWSP 1036
(Dilawati 8,728 kali, 2 lawatan hari ini)