DSC_0614

21 JANUARI 2017 | 8.30 PAGI | DATARAN UTM | UTM JOHOR BAHRU

UCAPAN MEJAR (B) TN. ABD. RAHIM BIN ABD. KARIM

PENGARAH KESELAMATAN UTM

Yang Dihomati Mejar Mohd Fadhil Pegawai Memerintah 7 Kompeni Kor Polis Tentera Di Raja, Pegawai–Pegawai dan Anggota 7 KPTD, Pegawai Keselamatan Kanan UTM, Penolong-Penolong Pegawai Keselamatan dan para anggota Bahagian Keselamatan UTM yang dikasihi sekalian.

Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya, dapat kita bersama-sama berkumpul di pagi yang berbahagia ini sempena Majlis Pembukaan Latihan Askar Wataniah Kor Polis Tentera Di Raja yang julung-julung kalinya diadakan. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Jabatan Arah Kor Polis Tentera Di Raja khususnya 7 Kompeni Kor Polis Tentera Di Raja yang sangat komited bagi memastikan perancangan kursus dan latihan bagi anggota Bahagian Keselamatan UTM menjadi kenyataan.

Moga kerjasama strategik di antara UTM dan Kementerian Pertahanan khususnya Kor Polis Tentera Di Raja ini memberi manfaat kepada kedua belah pihak dalam usaha meningkatkan sistem pertahanan negara melalui pendekatan ‘Blue Ocean Strategy’. Kerjasama ini telah memberikan banyak manfaat kepada Bahagian Keselamatan UTM berdasarkan kursus dan latihan yang bersesuaian dengan fungsi Bahagian Keselamatan dalam memastikan keselamatan kampus sentiasa berada dalam keadaan baik dan terkawal.

Hadirin sekalian,

Saya ingin mengambil kesempatan di sini bagi menzahirkan perasaan bangga apabila melihat anggota Bahagian Keselamatan yang segak berdiri dengan penuh disiplin dan semangat juang yang tinggi dalam memerah keringat dalam menggalas tanggungjawab menjaga keselamatan universiti serta dalam masa yang sama menjadi salah seorang perajurit menjaga benteng pertahanan negara. Semangat patriotik yang tinggi beginilah yang diperlukan oleh universiti serta negara secara amnya bagi mendepani ancaman keselamatan yang kian meruncing mutakhir ini. Mentaliti serta sikap positif semua anggota ini wajar diteruskan dari semasa ke semasa bagi dijadikan contoh dan teladan kepada bukan sahaja anggota rakan sekerja malah keseluruhan warga kampus.

Saya ingin menarik perhatian semua hadirin yang hadir serta anggota terhadap objektif transformasi Bahagian Keselamatan bagi memastikan organisasi ini terus relevan dalam menyediakan perkhidmatan keselamatan selaras dengan aspirasi pihak universiti. Pertama, menyediakan perkhidmatan keselamatan yang berkualiti tinggi berasaskan kekuatan anggota yang mempunyai ketahanan fizikal, mental dan kompeten dalam melaksanakan tugas bagi memastikan kawasan kampus sentiasa selamat dan harmoni. 

Kedua, mengoptimumkan penugasan anggota melalui sistem penjadualan bersistematik dengan menempatkan anggota di lokasi strategik bagi meningkatkan tahap kecekapan bertugas seterusnya mengelakkan pembaziran sumber.

Ketiga, mewujudkan sistem pemantauan dan pengawasan keselamatan yang lebih efisien      melalui penentuan kawasan tanggungjawab yang tetap bagi meningkatkan tahap penguasaan dan kebertanggungjawaban anggota dalam kawasan yang ditetapkan.

Akhir sekali yang keempat iaitu memastikan sistem penyampaian perkhidmatan keselamatan yang cemerlang bagi meningkatkan tahap kepercayaan dan keyakinan warga kampus serta pelanggan universiti terhadap fungsi Bahagian Keselamatan

Hadirin sekalian,

Berdasarkan objektif yang telah digariskan di atas sudah tentulah inisiatif yang dibuat oleh pihak pengurusan Bahagian Keselamatan UTM dalam mengadakan koloborasi dengan pihak ATM khususnya KPTD ini selaku penyedia latihan dan kursus atau ‘training provider’ merupakan pilihan yang tepat dan sesuai dengan kehendak dan hakiki tugas rutin anggota pasukan beruniform khususnya anggota keselamatan unversiti. Saya yakin dan percaya semua anggota yang telah berjaya menjalani latihan dan kursus yang disediakan oleh pihak KPTD ini pasti dapat meningkatkan pengetahuan, kualiti dan keyakinan diri serta berintegriti dalam menjalankan tugas harian yang diamanahkan oleh pihak universiti.

Memetik di antara kata-kata YBhg. Datuk Naib Canselor dalam perutusan Tahun Baru 2017 baru-baru ini, semua staf UTM diingatkan harus berubah seiring dengan fenomena yang berlaku sama ada dalam atau luar negara yang memerlukan kita meningkatkan kemahiran diri agar sentiasa dapat bersaing dan terus relevan dalam organisasi atau kita terpaksa meninggalkan universiti kerana kita tidak mahu berubah dan tidak produktif sebagai staf universiti.

Selain itu isu kewangan juga merupakan cabaran utama kepada semua PTJ dalam UTM termasuk Bahagian Keselamatan disebabkan peruntukan kewangan yang disalurkan kerajaan semakin berkurangan. Justeru semua anggota patut bersyukur meskipun kita turut terlibat dalam permasalahan kekangan bajet ini, inisiatif pihak pengurusan Bahagian Keselamatan mengambil langkah yang sangat signifikan ini iaitu bekerjasama dengan KPTD (AW) bukan sahaja dapat keluar daripada masalah kewangan bagi menyediakan latihan dan kursus yang bersesuaian bagi meningkatkan tahap kompetensi anggota serta produktiviti jabatan malah memberikan pendapatan tambahan melalui elaun latihan dan saguhati ‘bounti’ kepada anggota yang saya percaya sangat memerlukan ketika ini.

Hadirin sekalian,

Di akhir ucapan ini, saya menyeru kepada semua anggota agar dapat memberikan perhatian serta komitmen yang tinggi dalam setiap latihan yang telah dijadualkan agar mendapat ilmu dan manfaat untuk dijadikan panduan semasa menjalankan tugas. Pengalaman yang bakal ditempuh kelak oleh semua anggota merupakan suatu yang sangat berharga dan menjadi kenangan manis yang bukan sahaja sukar untuk dilupakan malah menjadi azimat dan kekuatan untuk meneruskan hari-hari mendatang. Suka saya mengingatkan pengalaman ini tidak akan dirasai oleh orang awam termasuk anggota yang tidak menyertai kursus dan latihan yang diadakan ini. Tiada yang mudah dalam meneroka hidup seharian sebagai anggota keselamatan mahupun sebagai perajurit negara namun saya yakin dengan keikhlasan dan pengorbanan yang tinggi ianya pasti mendapat perhitungan yang setimpal oleh Maha Pencipta di akhirat kelak Wallahualam.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, saya mengalu-alukan dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak KPTD di atas kesudiaan melatih anggota Bahagian Keselamatan serta menjadikan kami sebahagian daripada keluarga besar ATM khususnya KPTD AW. Terima kasih juga kepada semua ahli jawatankuasa di kalangan pegawai dan anggota Bahagian Keselamatan serta pihak KPTD yang bertungkus lumus dalam menjayakan majlis ini hingga akhirnya. Saya memohon ampun dan maaf kepada semua sekiranya terdapat kata-kata yang menyinggung perasaan dalam ucapan yang saya sampaikan. Yang baik dan hak itu hanyalah milik Allah dan kekurangan itu datangnya daripada saya selaku hamba.

Dengan lafaz ‘BISMILLAHIROHMANIROHIM’ saya merasmikan Pembukaan Latihan Tempatan Askar Wataniah Kor Polis Tentera Di Raja Tahun 2017.

Saya akhiri ucapan ini dengan serangkap pantun :

Mara ke medan mencari sasaran,

Keringat ditagih si anak watan,

Kesiapsiagaan anggota mendepani cabaran,

Menjaga Imej Bahagian Keselamatan.

 

Sekian, terima kasih.

 

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh

DSC_0695 DSC_0685 DSC_0683 DSC_0680 DSC_0665 DSC_0654 DSC_0651 DSC_0643 DSC_0638 DSC_0627 DSC_0625 DSC_0620 DSC_0616 DSC_0604 DSC_0594 DSC_0570 DSC_0565 DSC_0561