Persaraan Pengarah Keselamatan UTM Johor 1985-2015
Majlis Penghargaan Persaraan Pengarah Keselamatan UTM Johor Bahru telah diadakan pada 26 November 2015, (Khamis) di Padang Palapes UTM Johor Bahru dengan disertai ikrar dan pemeriksaan perbarisan yang dianggotai 70 anggota Bahagian Keselamatan ( 50 anggota UTM JB dan 20 anggota dari UTM Kuala Lumpur). Diikuti majlis jamuan di Dewan Alumni UTM Johor Bahru.
Majlis telah dihadiri oleh YBhg. Tuan Pendaftar UTM; Tuan Haji Wan Mohd. Zawawi bin Wan Abd Rahman, Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Pengurusan Modal Insan; Puan Siti Hawa binti Man, Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Pengurusan Organisasi; Encik Abd. Jalel bin Ahmad, Timbalan Pendaftar Bahagian Pembangunan Modal Insan, Puan Hanifah binti Ahmad, wakil Bendahari UTM, wakil Pengarah Harta Bina, Pengarah Pusat Islam,OSHE wakil Pengarah Alumni, dan Pegawai Polis
Menyingkap kembali perjalanan karier Tuan Halim bin Adam, mantan Pengarah Keselamatan dengan UTM
– mula lapor diri di UTM Kuala Lumpur tahun 1985 selama hampir 4 tahun dan selebihnya di UTM Johor Bahru
– telah bekerja dibawah 4 orang Pendaftar khasnya dan 6 orang Naib Canselor
– telah mengetuai Bahagian Keselamatan selepas Allahyarham Tn. Hj. Alias Sani Mohd. Zaman bersara pilihan tahun 90-an sehingga 26 November 2015 (bersara wajib umur 60 thn)
Dalam memimpin Bahagian Keselamatan yang sehingga kini anggota Bahagian Keselamatan mencapai hampir 200 orang memerlukan kecekalan dan kesabaran tinggi. Bermacam-macam karenah termasuk hal-hal peribadi yang harus dihadapi. Kita menguruskan manusia yang mempunyai personaliti berbagai. Mengurus dan mentadbir bukanlah sesuatu yang senang dilaksanakan.
Berlatar belakangkan perkhidmatan dalam ATM, Tuan Halim Adam telah dididik dengan disiplin tentera. Beliau amat menjaga dan menekankan kepentingan disiplin yang merupakan unsur yang penting dalam menguruskan sumber manusia serta ehwal keselamatan “Kita perlu berdisiplin menjaga masa kita, berdisiplin dalam kerja harian, berdisiplin dalam pimpinan kita. Saya rasa rakan dan pemimpin atasan kita akan percaya dan mudah berurusan dengan kita jika kita berdisiplin”.
Dalam pengurusan Keselamatan, beliau tetap percaya dengan kepimpinan melalui teladan. Jika pemimpin berjaya menerapkan pentadbiran berdisiplin, berwawasan serta efisyen sudah tentu organisasi pimpinannya akan berupaya memberikan perkhidmatan yang berprestasi tinggi. Oleh itu pihak tadbir atas perlu menjadi contoh kepada subordinate mereka.
Mengenai strategi pengurusan beliau percaya konsep mesyuarat pagi penting dalam mempastikan rutin harian dan perancangan pentadbiran berjalan lancar. Setiap pagi beliau mengadakan Tazkirah bagi bertukar & mencambah fikiran menangani tugasan harian. Impaknya sangat memberansangkan. Kerja berjalan teratur dan kurang breakdown.
UTM merupakan antara Universiti Awam yang besar. Warga UTM pula terdiri dari 5,000 orang staf dengan hampir separuh darinya ahli bijak pandai. Bilangan mahasiswanya pula berjumlah 25,000 orang. Pelajar International 5,000 orang lebih. Manakala luas kampus 3,000 ekar di Johor Bahru dan 47 ekar di K. Lumpur. Kuantiti yang besar ini yang sebenarnya memerlukan strategi yang mantap untuk menangani kes-kes keselamatan dan keharmonian walaupun kampus UTM dalam keadaan harmoni dan sejahtera sebagai pusat ilmu peringkat tinggi.
Kes-kes jenayah juga adalah terkawal dan sekiranya ada kes-kes besar , mudah mendapat sokongan dari pihak PDRM, BOMBA dan Imigresen yang sentiasa bekerja sama tanpa mengira masa dan tempoh.
Pesanan terakhir beliau “teruslah bekerja dengan sebaiknya jadikan kerja sebagai satu ibadat. Sentiasa memberikan perkhidmatan kita yang paling maksimum. Sentiasa tambah ilmu kita. Mantapkan perkhidmatan kita khasnya kepada mahasiswa yang merupakan generasi muda masih belajar mengenai hidup. Kita juga kena bersyukur diberi peluang bekerja di Universiti Awam berprestij. Kita harus redho ramai lagi diluar sana sedang mencari kerja untuk kelangsungan hidup”.