Sempena menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak, Kelab Bahagian Sumber Manusia (BSM), Pejabat Pendaftar telah menganjurkan program Sambutan Ambang Ramadhan. Majlis telah diadakan pada 24 Mei 2017 jam 9.00 pagi bertempat di Dewan Serbaguna, Masjid UTM yang melibatkan semua staf BSM, Pejabat Pendaftar. Di samping sambutan ambang ramadhan, majlis turut meraikan staf yang akan bersara, staf yang bertukar, kelahiran cahaya mata, hari lahir staf dan lain-lain.

Majlis dimulakan dengan bacaan Tahlil oleh semua tetamu dan seterusnya ucapan oleh Timbalan Pendaftar Kanan (BSM), Encik Abdul Razib bin Shahuddin. Pengisian program diteruskan dengan tayangan montaj perpisahan bagi staf yang bersara dan yang telah bertukar.

Majlis ini turut meraikan persaraan Puan Salmah binti Arshad, Pembantu Tadbir (P/O) Kanan yang telah berkhidmat selama lebih kurang 35 tahun di UTM. Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah perpisahan, kelahiran cahaya mata, hari lahir dan penyampaian hadiah bagi aktiviti boling yang telah dianjurkan sebelum ini. Seterusnya ucapan oleh Puan Salmah binti Arshad dan wakil bagi staf-staf yang akan bertukar.

Majlis diakhiri dengan sedikit jamuan dan bersurai jam 11.00 pagi.