+(6)07-5533333 jabatanpendaftar@utm.my

SOALAN LAZIM

 

  1. Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil 11 tahun 2015 bagi pegawai yang sedang berkhidmat yang kekal diberi kemudahan Cuti Rehat tahunan mengikut PP Bil. 4/2002 atau PP Bil. 20/2005 dan dilantik ke jawatan lain yang kadar kelayakan cuti rehatnya lebih tinggi, berapakah kadar kelayakan cuti rehat tahunan bagi staf tersebut mulai 1 Januari 2016?

 

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 11 Tahun 2015 (PP Bil. 11/2015) – Kadar Kelayakan Kemudahan Cuti Rehat Tahunan Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam yang berkuatkuasa mulai 1 Januari 2016 menjelaskan, bagi pegawai sedang berkhidmat yang kekal diberi kemudahan Cuti Rehat tahunan mengikut PP Bil. 4/2002 atau PP Bil. 20/2005 dan dilantik ke jawatan lain yang kadar kelayakan cuti rehatnya adalah lebih tinggi, kadar kelayakan Cuti Rehat tahunan adalah berdasarkan tarikh lantikan tetap pertama atau lantikan tetap baharu, mana-mana yang lebih tinggi (tertakluk kepada Pihak Berkuasa Melantik yang sama).

 

  1. Adakah tempoh Cuti Tanpa Gaji boleh diambil kira sebagai tempoh notis peletakan jawatan staf?

Bagi maksud tempoh notis peletakan jawatan, cuti tanpa gaji boleh diambil kira sebagai tempoh notis berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2015 (PP Bil 1/2015) Dasar Dan Prosedur Pelepasan Jawatan Dan Peletakan Jawatan Perkara 8 (c) Dasar Peletakan Jawatan.

  1. Berapakah kelayakan Cuti Tanpa Gaji staf yang telah berkhidmat selama 1 tahun 6 bulan?

Berdasarkan Peraturan Perintah Am Bab C, Cuti Tanpa Gaji, Perkara 14 (a) menggariskan kelayakan Cuti Tanpa Gaji adalah sebanyak 30 hari bagi tiap-tiap genap tahun perkhidmatan yang melayakkan tetapi tidak boleh melebihi 360 hari.

Bagi kes di atas, kelayakan Cuti Tanpa Gaji staf adalah sebanyak 45 hari, termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am berdasarkan pengiraan berikut:

CTG    = Tempoh Perkhidmatan Yang Melayakkan (hari) x 30 hari                        
                                365 hari

                        = (547hari / 365 hari) x 30 hari

                        = 45 hari

 

 

  1. Berapakah tempoh Cuti Tanpa Gaji Bagi Pegawai Yang Mengikut Pasangan Bertugas Atau Berkursus Di Dalam Atau Di Luar Negara yang pasangannya bukan pegawai agensi awam (swasta)?

 Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil.5 Tahun 2016 (PP Bil. 5/2016) Cuti Tanpa Gaji Bagi Pegawai Yang Mengikut Pasangan Bertugas Atau Berkursus Di Dalam Atau Di Luar Negara Perkara 4, Dasar Baharu menggariskan , pegawai yang pasangannya bukan pegawai agensi awam, tempoh adalah mengikut tempoh pasangan bertugas/ berkursus dan pegawai tidak tertakluk kepada syarat kembali bertugas selama satu (1) tahun untuk permohonan Cuti Tanpa Gaji berikutnya.

  1. Adakah pegawai layak menikmati kemudahan cuti separuh gaji menjaga anak sakit sekiranya pegawai sedang dalam tempoh Cuti Tanpa Gaji Bagi Pegawai Yang Mengikut Pasangan Bertugas Atau Berkursus Di Dalam Atau Di Luar Negara?

Pegawai yang telah diberikan kelulusan tempoh Cuti Tanpa Gaji Bagi Pegawai Yang Mengikut Pasangan Bertugas Atau Berkursus Di Dalam Atau Di Luar Negara tidak layak untuk memohon Cuti Separuh Gaji menjaga anak yang sakit. Penggunaan Cuti Separuh Gaji adalah tidak berbangkit berdasarkan prinsip bahawa kemudahan cuti tidak boleh digunakan secara serentak. Sekiranya pegawai dalam tempoh menggunakan kemudahan Cuti Tanpa Gaji, pegawai tidak boleh menggunakan kemudahan Cuti Separuh Gaji untuk tempoh yang sama. Jika pegawai berhasrat untuk membawa pulang anaknya ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan yang sewajarnya dalam tempoh yang munasabah, pegawai tersebut perlu memendekkan tempoh Cuti Tanpa Gaji mengikut pasangan dan melaporkan diri terlebih dahulu sebelum membuat permohonan Cuti Separuh Gaji. Pegawai perlu mendapat sokongan daripada Ketua PTJ terlebih dahulu.

  1. Bagaimanakah kedudukan pegawai yang masih dalam tempoh percubaan dan telah diluluskan kemudahan Cuti Tanpa Gaji Bagi Pegawai Yang Mengikut Pasangan Bertugas Atau Berkursus Di Dalam Atau Di Luar Negara?

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil.5 Tahun 2016 (PP Bil. 5/2016) Cuti Tanpa Gaji Bagi Pegawai Yang Mengikut Pasangan Bertugas Atau Berkursus Di Dalam Atau Di Luar Negara Perkara 13, Pegawai Dalam Tempoh Percubaan menggariskan tempoh percubaan bagi pegawai yang belum disahkan dalam perkhidmatan akan dibekukan sepanjang tempoh CTG mengikut pasangan yang diluluskan dan baki tempoh percubaan akan disambung apabila pegawai kembali bertugas. Walau bagaimanapun, pegawai boleh dipertimbangkan untuk mengikuti kursus Program Transformasi Minda (PTM) atau menduduki peperiksaan perkhidmatan bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan dengan perbelanjaan ditanggung oleh pegawai.

Bagi Pegawai yang telah memenuhi semua syarat pengesahan dalam perkhidmatan sebelum diluluskan CTG mengikut pasangan boleh disahkan dalam perkhidmatan sehari selepas tarikh pegawai memenuhi semua syarat pengesahan dalam perkhidmatan yang ditetapkan. Bagi pegawai yang memenuhi semua syarat pengesahan dalam perkhidmatan semasa bercuti, tarikh pengesahan boleh ditetapkan mulai tarikh pegawai melaporkan diri bertugas.

 

 

  1. Merujuk kepada Peraturan Perintah Am Bab C, Perkara 34 (Kelayakan Cuti Haji) menyatakan: Cuti haji Bergaji Penuh selama 40 hari boleh diluluskan kepada pegawai yang beragama Islam berdasarkan syarat yang ditetapkan. Walau bagaimanapun seandainya tempoh Cuti Haji yang ditawarkan adalah kurang dari 40 hari, adakah pegawai layak menikmati sepenuhnya peruntukan 40 hari Cuti Haji atau tertakluk tempoh haji yang ditawarkan?

Kemudahan cuti haji dibawah Perintah Am 34 Bab C bertujuan membolehkan pegawai Perkhidmatan Awam mengerjakan fardhu Haji. Kadar Cuti Haji ditetapkan selama 40 hari sekali sepanjang tempoh perkhidmatan. Syarat-syarat Cuti Haji adalah seperti berikut:

(a)        Pegawai beragama islam; dan

(b)        Berjawatan Tetap; dan

(c)        Telah disahkan dalam perkhidmatan; atau

(d)        Pegawai sementara yang telah berkhidmat tidak kurang daripada 6
            tahun secara berterusan

                        (e)        Boleh diambil mengikut tempoh yang munasabah terhad kepada 40
                                    hari

Berdasarkan kaedah penentuan 40 hari tersebut, kelayakan Cuti Haji hendaklah berasaskan tempoh perjalanan sebenar ke tanah suci mengikut jadual penerbangan dengan ditambah suatu tempoh yang munasabah untuk pegawai membuat persediaan dan berehat yang diluluskan atas budicara Ketua Jabatan. Tempoh tersebut keseluruhannya tidak boleh melebihi 40 hari.

  1. Apakah syarat-syarat yang melayakkan pegawai perkhidmatan awam diberikan kemudahan 40 hari Cuti Haji bergaji penuh.

Berdasarkan peruntukan Perintah Am 34 dan 35 Bab C Tahun 1974 dan pindaanya melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 1984 (PP Bil. 4/1984) dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 1991(PP Bil. 9/1991)  menetapkan kelayakan Cuti Haji adalah seperti berikut:                                                 

(a)       diberi kepada pegawai Perkhidmatan Awam beragama Islam untuk menunaikan haji di Mekah;

(b)       Cuti Haji bergaji penuh selama 40 hari termasuk hari rehat mingguan dan hari kelepasan am;

(c)       Cuti Haji hanya boleh diluluskan sekali sahaja sepanjang tempoh perkhidmatan seseorang pegawai;

(d)       tertakluk kepada syarat bahawa pegawai itu telah disahkan dalam jawatannya; dan

(e)       sekiranya seseorang pegawai memerlukan tempoh lebih daripada 40 hari atas sebab-sebab tertentu, pegawai bolehlah              memohon untuk menggunakan kemudahan Cuti Rehat yang berkelayakan, Cuti Tanpa Gaji.

Syarat yang menetapkan pegawai telah berkhidmat tidak kurang 4 tahun dalam PP4/1984 telah dipinda ke syarat pegawai adalah berjawatan tetap dan telah disahkan dalam jawatan sebagaimana dijelaskan di perenggan 2 (d) di atas.

  1. Seandainya pegawai melahirkan anak kelima pada 15 Disember 2017, dan baki Cuti bersalin pegawai berbaki 30 hari, bagaimanakah kaedah penetapan kelayakan Cuti Bersalin pegawai berkuatkuasa 1 Januari 2018?

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 2017, Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam Perkara 3 menggariskan kerajaan telah bersetuju untuk menambah tempoh cuti bersalin bergaji penuh dari 300 hari kepada 360 hari sepanjang tempoh perkhidmatan.

Bagi pegawai yang sedang dalam tempoh Cuti Bersalin seperti yang diperuntukkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 2010 hingga melepasi tarikh 1 Januari 2018, pegawai boleh menggunakan kadar tambahan baharu ini mulai 1 Januari 2018. Sehubungan itu, berkuatkuasa 1 Januari 2018, pegawai di atas layak menerima tambahan Cuti Bersalin bergaji penuh selama 60 hari setelah menghabiskan baki 30 hari kelayakan sebelum ini.

  1. Seandainya pegawai telah menggunakan 330 hari Cuti Bersalin Bergaji Penuh, adakah pegawai boleh menggunakan baki cuti bersalin selama 30 hari dan menggunakan cuti sakit selama 30 hari bagi memenuhi tempoh minimum cuti bersalin?

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 2017, Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam Perkara 12 menggariskan Cuti Sakit tidak boleh digunakan bagi maksud menggantikan tempoh Cuti Bersalin kecuali Cuti Tibi, Kusta, Barah atau tempoh pegawai dimasukkan ke wad hospital kerana sakit bukan atas sebab bersalin.

Sehubungan itu, pegawai yang mempunyai baki Cuti Bersalin bergaji penuh kurang daripada 60 hari, pegawai hendaklah mengambil Cuti Bersalin antara 60 hingga 90 hari berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 2017, Perkara 6.1, dengan menggunakan kemudahan berikut :

  • menggunakan semua baki Cuti Bersalin bergaji penuh; dan
  • jika tidak mencukupi, Cuti Rehat digunakan; dan
  • jika masih tidak mencukupi, Cuti Bersalin tanpa gaji digunakan

 1. Berapakah tempoh maksimum yang dibenarkan bagi tujuan meninggalkan pejabat?

Berdasarkan Ceraian SR.4.2.2 Peraturan Kebenaran untuk Meninggalkan Pejabat Dalam Waktu Bekerja di bawah Perintah Am 5 Bab G – Mematuhi Waktu Bekerja. tempoh maksimum yang dibenarkan hendaklah tidak melebihi 4 jam sehari atau separuh daripada waktu bekerja sehari (tidak termasuk waktu rehat), mana yang lebih rendah.


2. Seandainya pegawai tiada tempoh kerja lebih masa, tetapi berlaku urusan penting yang memerlukan beliau meninggalkan  pejabat dalam tempoh waktu maksimum 4 jam, perlukah pegawai mengambil cuti rehat atau sekadar budi bicara penyelia?

Secara dasarnya, waktu meninggalkan pejabat akan ditolak daripada jumlah kerja lebih masa atau jumlah cuti gantian yang disahkan oleh penyelia. Sekiranya pegawai tidak mempunyai jumlah kerja lebih masa yang terkumpul, pegawai boleh diluluskan meninggalkan pejabat dengan syarat, penyelia meminta staf melaksanakan tugas lebih masa bagi menggantikan tempoh meninggalkan pejabat tersebut.


3.
Bolehkah pegawai yang membawa anak atau keluarga terdekat mendapat rawatan di klinik atau hospital mengemukakan “time slip” bagi tujuan kelulusan meninggalkan pejabat?

“Time slip” atau sebarang dokumen daripada pegawai perubatan atau doktor hanya boleh digunakan seandainya pegawai mendapatkan rawatan bagi diri sendiri sahaja. “Time slip” bukanlah satu bukti waktu masuk ke pejabat bagi seseorang pegawai tetapi ia merupakan pengesahan pegawai mendapatkan rawatan di klinik/ hospital berkenaan dalam tempoh tersebut. Tempoh pegawai keluar pejabat untuk mendapatkan rawatan masih tertakluk dengan Ceraian SR.4.2.2 Peraturan Kebenaran untuk Meninggalkan Pejabat Dalam Waktu Bekerja di bawah Perintah Am 5 Bab G – Mematuhi Waktu Bekerja.


4. Adakah pegawai yang mengemukakan “time slip” tidak perlu menggantikan masa yang digunakan untuk keluar pejabat atau menolak baki kerja lebih masa?

“Time slip” hanya pengesahan pegawai yang ingin keluar pejabat kerana perlu mendapatkan rawatan di klinik. Tempoh keluar pejabat ini akan ditolak daripada baki kerja lebih masa atau sekiranya tidak mengumpul kerja lebih masa, Penyelia boleh arahkan pegawai menggantikan waktu yang digunakan keluar pejabat melalui kerja lebih masa.

5. Adakah pegawai boleh meninggalkan pejabat tanpa kelulusan penyelia walaupun pegawai mempunyai tempoh kerja lebih masa?

Berdasarkan Ceraian SR.4.2.2 Peraturan Kebenaran untuk Meninggalkan Pejabat Dalam Waktu Bekerja di bawah Perintah Am 5 Bab G – Mematuhi Waktu Bekerja, kebenaran untuk meninggalkan pejabat ini boleh diberi bagi tujuan menyelesaikan urusan persendirian pegawai yang terpaksa dilakukan dalam waktu bekerja. Pegawai hendaklah memberi keutamaan kepada tugas dan tanggungjawabnya sekiranya urusan persendirian tersebut boleh diselesaikan menerusi perkhidmatan atas talian atau perkhidmatan yang disediakan di luar waktu bekerja.

Sehubungan itu, seandainya pegawai tidak mendapat kelulusan daripada pegawai penyelia, pegawai hendaklah menyelesaikan urusan tersebut di luar waktu pejabat.


6. Berapakah kekerapan penggunaan kebenaran keluar pejabat ini boleh digunapakai?

Memandangkan kebenaran keluar pejabat ini merupakan budi bicara pegawai penyelia dengan mengambil kira syarat-syarat yang telah diperuntukkan, pegawai hanya boleh menggunakan kebenaran ini sebanyak 2 kali sahaja dalam sebulan. Walau bagaimanapun, pegawai hendaklah memberi keutamaan kepada tugas dan tanggungjawab hakiki sebelum menggunakan kemudahan ini.

NOTA:

CTG – Cuti Tanpa Gaji

CTG Mengikut Pasangan – Cuti Tanpa Gaji Mengikut Pasangan

(Dilawati 27,612 kali, 3 lawatan hari ini)