+(6)07-5533333 jabatanpendaftar@utm.my

KURSUS ASAS PERAJURIT MUDA SUKARELA (APMS) KOR POLIS TENTERA DI RAJA SIRI 1/2017

Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Kor Polis Tentera Di Raja ini telah berlangsung pada 6 Mac hingga 4 April 2017 di Kem 2 Rejimen Kor Polis Tentera Di Raja Sg Ara Pulau Pinang. Kursus yang diadakan ini julung-julung kalinya diadakan oleh Kor Polis Tentera Di Raja disebabkan sebelum ini kurangnya penyertaan di kalangan orang awam untuk menyertai askar sukarela KPTD. Ekoran penyertaan yang ramai dari staf Bahagian Keselamatan UTM, KPTD telah diberikan kepercayaan oleh Bahagian Pasukan Simpanan, Kementerian Pertahanan Malaysia bagi menganjurkan kursus asas  yang sebelum ini dilaksanakan melalui Rejimen Askar Wataniah di seluruh Malaysia.

Seramai 22 orang daripada 32 orang Perajurit Muda adalah dari UTM telah berjaya menamatkan kursus selama sebulan dan tiga orang penuntut telah berjaya menggondol tiga daripada empat anugerah yang dipertandingkan iaitu Penuntut Kawad Terbaik, Penuntut Penembak Terbaik dan Penuntut Terbaik Keseluruhan manakala Penuntut Akademik Terbaik pula disandang oleh Nur Husniyah Binti Hussin Perajurit Muda 13 KPTD (AW), Sg. Buloh. Tahniah kepada Pn Nurhidayah Binti Mohamed, En. Ridwan Bin Somiran dan En. Mohammad Firdaus Bin Wahyudin di atas anugerah masing-masing yang telah disampaikan oleh Pengarah Kor Polis Tentera Di Raja Kol. Hj Kamarudin Bin Hj Mustapha semasa Upacara Tamat Latihan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela pada 3 April 2017 di Padang Kawad 2 Rejimen KPTD, Kem Sg Ara, Pulau  Pinang.

Bagi UTM khususnya Bahagian Keselamatan, penyertaan anggota dalam Askar Wataniah Kor Polis Tentera adalah seiring dengan Pelan Transformasi Strategik Bahagian Keselamatan 2016-2020 bagi melahirkan staf yang mempunyai kesiapsiagaan tinggi berasaskan kekuatan fizikal dan mental dalam mendepani cabaran semasa yang semakin meruncing lebih-lebih lagi dunia kini dikejutkan dengan ancaman terrorisme yang didalangi oleh Militan DAEISH. Selain itu, pemilihan KPTD ini merupakan satu pilihan yang tepat oleh Bahagian Keselamatan disebabkan kursus dan latihan yang disediakan adalah sangat signifikan dengan tugas semasa seperti kawalan keselamatan, rondaan serta risikan dan penyiasatan. Selain Kursus APMS yang perlu dihadiri oleh anggota, latihan lain yang perlu dihadiri adalah secara mingguan, latihan berterusan dan khemah tahunan selama dua minggu setiap tahun. Staf Bahagian Keselamatan juga berpeluang menjalani pelbagai kursus kompetensi lain yang dianjurkan oleh pihak ATM khususnya Tentera Darat.

UTM merupakan Universiti Awam pertama di kalangan 20 Universiti Awam lain yang diberikan kepercayaan oleh pihak ATM khususnya Kor Polis Tentera Di Raja bagi menjalani latihan dan kursus di bawah kendalian pihak ATM sepenuhnya. Sebelum ini Kerjasama ATM dan Universiti Awam (UA) adalah melalui penyertaan mahasiswa dan staf dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang melibatkan tiga perkhidmatan iaitu PALAPES Darat, Laut dan Udara.