Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh.

Terima kasih kepada Pengacara Majlis,
Yang berusaha Pengerusi Majlis, Yang dihormati Tn Hj Roselaile B. Samah Penolong Pendaftar Kanan, Mohd Faizal B. Abd Latib Pegawai Keselamatan Kanan, Dr Beni Widarman B. Yus Kelanan Pegawai Keselamatan Kanan, Tn Hj Zainal Abidin Bin Hassan Penolong Pegawai Tadbir Kanan, Penolong Pegawai Keselamatan Kanan, Penolong-Penolong Pegawai Keselamatan, Pembantu Keselamatan Kanan, Pembantu-Pembantu Keselamatan, Ketua Pengawal serta Staf Keselamatan yang dikasihi sekalian.

Marilah kita memanjatkan kesyukuran tidak terkira ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya dapat kita berkumpul pada pagi ini dalam majlis yang sangat bermakna dan julung-julung kali kita adakan bagi bersama-sama mendengar serta menghayati seterusnya yang paling penting melaksanakan apa jua aktiviti yang telah dirancang oleh pihak Pengurusan Bahagian Keselamatan. Amanat yang bakal saya sampaikan ini turut mengambil kira intisari ucapan YB Menteri Pendidikan Tinggi dan YBhg. Datuk Naib Canselor untuk tahun 2018 baru-baru ini.

Hadirin sekalian,
Sedar tidak sedar UTM kini telah berusia ke 30 tahun bergelar Universiti dan keseluruhannya sudah menjangkau 114 tahun sejak penubuhannya yang bermula sebagai Technical School pada tahun 1904 , Maktab Teknik, Institut Teknologi Kebangsaan dan seterusnya Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1985 hingga sekarang. Perjalanan yang panjang ini sudah tentu kita menyaksikan pelbagai perubahan yang berlaku sama ada di sudut infrastruktur, tenaga kerja, sistem pengurusan dan sebagainya. Justeru kita sebagai generasi pewaris yang telah dipertanggungjawabkan bagi memacu kecemerlangan dan kegemilangan ini seharusnya tidak lagi boleh berdiam diri apatah lagi mengambil sikap acuh tak acuh dalam mendepani cabaran bagi memastikan hasrat UTM yang mahu mengejar ranking 50 universiti terbaik dunia menjelang 2020 menjadi kenyataan.

Hadirin sekalian,
Kini UTM berada di ranking ke 90 terbaik dunia dan kita masih ada dua tahun lebih bermula sekarang bagi mencapai sasaran yang kita tetapkan. Justeru sebagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang diamanahkan bagi menjaga keselamatan dan memastikan keharmonian kampus sudah tentulah kita juga memainkan peranan penting dalam mengisi cita-cita UTM yang kita cintai ini. Bahagian Keselamatan telah mengambil inisiatif awal bagi menyahut cabaran ini melalui penyediaan Pelan Transformasi Strategik Bahagian Keselamatan 2016-2020 yang bersifat holistik dengan memberi penekanan terhadap aspek fizikal dan spiritual kepada anggota dan pegawai bagi memastikan perancangan ini menjadi kenyataan. Alhamdulillah sebahagian perancangan kita dalam menyediakan laluan kerjaya lebih jelas berasaskan kompetensi tugas dengan mengadakan koloborasi bersama pihak ATM telahpun menjadi kenyataan sekalipun tidak mencapai secara keseluruhannya disebabkan beberapa masalah berkaitan teknikal dan staf. Namun, dengan tidak pernah mengenal erti menyerah mahupun putus asa bertunjangkan falsafah ‘Kerana Tuhan Untuk Manusia, kita sudah memasuki fasa kedua selepas Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) berjaya dilalui oleh 22 orang anggota perajurit muda kita termasuk UTMKL dan kini bakal menyertai Kursus Asas Darat Sukarela (KADAR) yang dijangka pada APRIL 2018 bagi melayakkan untuk dinaiikan pangkat Lans Koperal dalam Askar Wataniah seterusnya akan dipertimbangkan untuk mengisi jawatan penting dalam Bahagian Keselamatan UTM selepas tamat kursus nanti.

Hadirin sekalian,
Perancangan berikutnya dari aspek penjimatan dan penjanaan. Pihak pengurusan Bahagian Keselamatan komited dalam menyahut cabaran pihak universiti dalam membudayakan program ‘enterprenurial’ (keusahawanan). InsyaAllah melalui kerjasama dengan MIMOS Lab Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Cyber Security X-Lab Fakulti Komputeran kita bakal mewujudkan serta mengkomersilkan beberapa sistem peralatan elektronik berasaskan ‘smart system’ seperti smart barrier, gts, door access, parameter fencing dan yang akhir dron technology. Selain itu juga kita bakal menjadi perunding dalam perkhidmatan keselamatan dalam memberikan latihan kepada pengawal dan pegawai keselamatan luar sama ada Universiti Awam mahupun swasta. Perancangan yang dibuat ini bukan sahaja bagi tujuan penjanaan namun lebih jauh berbanding apa kita telah fikirkan dalam persiapan menghadapi revolusi industri 4.0 yang turut diberi penekanan oleh YB Menteri KPT dan YBhg. Datuk NC UTM dalam amanat tahun baru beliau baru-baru ini.

Hadirin sekalian,
Perancangan ketiga berkaitan pengukuhan amalan integriti dan sistem penyampaian cemerlang. Aspek integriti sentiasa diberi perhatian serius kepada semua penjawat awam khususnya staf UTM. Aspek ini turut dimuatkan dalam salah satu DNA UTM bagi memastikan semua warga UTM bekerja dengan penuh kejujuran dan amanah bagi mencari keredhaan Ilahi. Aspek ini kerap disampaikan dalam perhimpunan bulanan YBhg. Datuk Naib Canselor kepada warga kampus. Justeru sebagai PTJ yang sinonim dengan aspek disiplin dan ketinggian sahsiah seharusnya bukan sahaja memiliki nilai-nilai murni ini malah menjadi contoh dan tauladan kepada staf lain khususnya dalam melaksanakan tugas harian. Hal ini penting dalam memastikan organisasi ini subur dengan nilai-nilai positif dan penuh etika serta akauntabiliti. Bagi merangsang dan merealisasikan hasrat ini, pihak pengurusan telah merancang bagi mengadakan program pengukuhan kerohanian dengan kerjasama Pusat Islam serta pemantapan fizikal bersama Pusat Kecemerlangan Sukan dan Pusat Kesihatan.

Hadirin sekalian,
Perancangan akhir pula berkaitan aspek kreativiti dan inovasi. Tahun 2017 kita berjaya meraih tempat pertama kategori inovasi melalui penghasilan Balai Bergerak Keselamatan atau ‘Mobile Security’ dalam Majlis Anugerah Permata Gemilang Pejabat Pendaftar. Bagi inovasi berikutnya untuk tahun 2018 kita telah menghasilkan e-pelekat melalui kerjasama dengan CICT dan MIMOS Lab Fakulti Kejuruteraan Elektrik bagi pengurusan pelekat kenderaan. Untuk pengetahuan semua, pelekat yang bakal kita gunakan nanti ialah satu-satunya Universiti Awam pertama di Malaysia yang menggunakan pelekat kenderaan berciri elektronik RFID. Oleh yang demikian saya menyeru kepada semua warga Bahagian Keselamatan agar aspek kreativiti dan inovasi ini tertanam dalam diri masing-masing bagi memastikan kelestarian perkhidmatan keselamatan bersesuaian dengan persekitaran yang penuh berdaya saing selain ancaman global yang kian meruncing. Menjelang tahun 2020, kita menyaksikan pelbagai usaha yang dibuat kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi yang terarah ke arah permodenan sistem penyampaian perkhidmatan bertaraf dunia dengan memaksimumkan sistem teknologi maklumat (IT) berasaskan teknologi kecerdikan pembuatan ‘artificial intelligent’ 4.0 selari dengan perkembangan semasa yang berlaku di dunia mutakhir ini.

Hadirin sekalian,
Dunia kini berhadapan dengan pelbagai ancaman keselamatan global seperti militan, pemerdagangan manusia, dadah, jenayah terancang/rentas sempadan, penculikan dan jenayah siber yang kini sedang hangat diperkatakan . Justeru pelbagai langkah telah diambil kerajaan bukan sahaja berbentuk pencegahan malah memberkas penjenayah yang terlibat untuk di bawa ke muka pengadilan. Namun begitu usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah malah bergantung kepada kepintaran dan kebijaksanaan organisasi pihak berkuasa terlibat seperti Polis, Angkatan Tentera, Imigrisen, Kastam dan lain-lain lagi. Selain itu ia turut memerlukan kecanggihan fasiliti keselamatan yang digunakan bagi mengesan dan merekodkan pergerakan atau aktiviti jenayah yang dilakukan. Bagi jenayah siber, semua pihak perlu mengambil perhatian serius terutama dalam kita melayari laman sesawang terutama laman sosial seperti Facebook, Instagram, Whatsapp, Telegram dan sebagainya supaya lebih bersikap bertanggungjawab tanpa memuatnaik isu sensitif yang boleh mewujudkan konflik sama ada berkaitan agama, politik, ekonomi mahupun agama. Justeru, saya berpesan agar semua staf khususnya anggota Bahagian Keselamatan agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah malah menjadi mata dan telinga bagi membendung daripada ianya berlaku. Saya juga memahami masalah kekurangan dari sudut infrastruktur dan peralatan keselamatan serta kursus berkaitan namun ianya telah dirancang oleh pengurusan Bahagian Keselamatan InsyaAllah akan dapat diselesaikan secara berperingkat selain bergantung kepada kemampuan kewangan universiti.

Hadirin sekalian,
Bahagian Keselamatan sering dijadikan penanda aras oleh Universiti Awam mahupun Swasta. Baru-baru ini kita telah dikunjungi Universiti Tun Hussin Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), Kolej Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dan universiti dari Indonesia. Kunjungan mereka bukan sahaja ingin mencontohi gaya pengurusan serta latihan dan kursus termasuk laluan kerjaya staf malah ada Universiti yang memohon untuk menghantar staf mereka berkursus serta program ‘attachment’ (sangkutan) di Bahagian Keselamatan UTM. Justeru sebagai staf Bahagian Keselamatan UTM, saudara seharusnya berasa bertuah dan bangga kerana modul kursus dan latihan serta laluan kerjaya yang saudara sedang dan bakal lalui di mana ianya dibangunkan serta digubal sendiri oleh Pengurusan Bahagian Keselamatan telah dijadikan rujukan oleh universiti luar. InsyaAllah ianya kelak bakal dijadikan program yang bersifat komersil dan sebagai salah satu sumber penjanaan kepada pihak universiti secara amnya dan juga Bahagian Keselamatan khususnya.

Hadirin sekalian,
Bengkel Perancangan Strategi Pejabat Pendaftar baru sahaja selesai di mana pelbagai KAI, Strategi Objektif dan Inisiatif telah dirangka untuk dilaksanakan pada tahun 2018 hingga tahun 2020. Pihak pengurusan juga mengesyorkan agar open campus (kampus terbuka) dijadikan salah satu KAI Bahagian Keselamatan. Hal ini pastinya satu cabaran besar kepada Bahagian Keselamatan lebih-lebih lagi statistik kes yang dilaporkan meningkat dari tahun ke tahun disebabkan pelbagai faktor termasuk ketirisan dalam tugasan staf seharian khususnya kawalan pintu mahupun rondaan serta kurangnya peralatan teknikal seperti CCTV dan sebagainya. Perancangan kampus terbuka ini bukanlah idea atau saranan baru kerana ianya pernah disuarakan sejak tahun 2000 lagi. Namun kali ini pastinya berbeza kerana hasrat pengurusan lebih kepada produktiviti berasaskan pelaburan dengan kata mudah tenaga kerja sekarang bakal digantikan dengan sistem teknologi yang berada di pasaran yang jauh lebih efisien dan menjimatkan. Dengan mengambil contoh beberapa universiti di luar negara seperti di China, England, Korea, Jepun dan sebagainya, yang saya pasti terdapat staf di kalangan kita yang telah merasai pengalaman dan suasana tersebut semasa menyertai Global Outreach Program (GOP) yang diilhamkan oleh mantan Naib Canselor kelima iaitu YBhg. Datuk Seri Zaini Ujang. Oleh yang demikian, saya mengingatkan semua staf Bahagian Keselamatan agar jangan mudah berpuashati dengan pengetahuan dan kemahiran yang kita miliki sekarang. Berusahalah untuk meningkatkan diri dengan ilmu serta kemahiran baru khususnya berkaitan teknologi maklumat (IT) yang berkaitan dengan aspek keselamatan. Ini penting bagi memastikan saudara terus relevan dan masih diperlukan dalam perkhidmatan keselamatan di kampus ini.

Hadirin sekalian,
Di majlis yang gemilang ini tidak kita lupakan pesara yang telah menyumbang budi dibasahi keringat dalam situasi aman dan juga sukar dalam melunaskan tanggungjawab menguatkuasakan peraturan dan undang-undang bagi memastikan keselamatan kampus sentiasa di tahap yang cemerlang. Tiada kata-kata dapat diungkapkan apatah lagi habuan yang mungkin tidak setimpal namun semangat dan kudrat bersulamkan rasa amanah dan bertanggungjawab membolehkan sebarang tugas yang diberikan dapat dilaksanakan dengan penuh kegigihan serta disiplin yang tinggi. Saya dapat merasakan kesinambungan tugas yang telah disumbangkan generasi pesara sebelum ini sebenarnya mampu diteruskan oleh generasi sekarang melalui komitmen dan kesungguhan yang tinggi apatah lagi bagi staf yang tiada latihan serta kursus kompetensi di samping kurang pengalaman berkaitan organisasi beruniform. Walaupun begitu, saya percaya kursus dan latihan yang telah dirancang oleh pihak pengurusan Bahagian Keselamatan kepada semua staf di setiap peringkat gred perjawatan melalui kerjasama dengan pihak berkuasa seperti ATM, PDRM, BOMBA, APM dan sebagainya InsyaAllah akan membuahkan hasil yang terbaik berbanding sebelum ini seterusnya menjadi contoh bukan sahaja di kalangan rakan seperjuangan malah staf lain di kampus kita ini.

Hadirin sekalian,
Selaku Pengarah Keselamatan, saya mengharapkan bersempena tahun baru 2018 ini, marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri dan saling bermaaf-maafan di samping menginsafi apa jua perbuatan atau pelakuan kita yang tidak memberi bermanfaat apatah lagi yang boleh mencemarkan imej organisasi seharusnya dijauhkan atau ditinggalkan sama sekali. Ibarat kata mutiara ‘buang yang keruh dan ambil yang jernih’. Marilah kita berganding bahu dan bersifat toleransi di samping saling hormat menghormati antara satu sama lain bagi memantapkan lagi organisasi yang kita sayangi ini. Ibarat kata pepatah, Tempat yang jatuh lagi dikenang, Inikan pula tempat mencari rezeki. Marilah kita bersama termasuk diri saya memperbetulkan semula nawaitu kita terhadap apa juga tugasan yang kita laksanakan agar dikira ibadah oleh Yang Esa agar diganjarkan kebaikkannya di akhirat kelak iaitu satu alam yang pasti dan bersifat kekal lagi abadi. Saya bersama barisan pihak pengurusan Bahagian Keselamatan sentiasa berazam untuk menyumbang yang terbaik kepada semua staf dan UTM, namun atas keterbatasan masa apatah lagi sebagai manusia biasa kita pastinya sedar akan kekurangan dan kelemahan yang pastinya tidak sunyi daripada melakukan kesilapan. Justeru akhir kalam, saya mewakili pengurusan Bahagian Keselamatan memohon maaf kepada semua staf di atas kekurangan dan kelemahan di tahun-tahun kebelakangan sama ada yang sengaja atau tidak disengajakan demi melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh pihak pengurusan tertinggi UTM.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, saya mengharapkan amanat yang telah saya sampaikan dapat disematkan di dalam sanubari masing-masing dan dijadikan azimat bagi mendepani cabaran mendatang yang pastinya lebih sukar. Bagi staf yang baru disahkan dalam jawatan, berjanjilah kepada diri saudara untuk terus berbakti kepada universiti yang tersohor ini dengan penuh keikhlasan dan kejujuran kerana Allah agar amanah tugas yang dipikul dipermudahkan oleh Yang Maha Esa. Bagi staf yang baru melaporkan diri, bersyukurlah dan ambillah seberapa banyak pelajaran serta ilmu yang telah diberikan memandangkan perjalanan saudara masih jauh yang menuntut kepada kecekalan dan pengorbanan yang tinggi. Akhir sekali kepada pesara, selamat bersara dan saya doakan agar diberikan kesihatan yang berkekalan dan kebahagian bersama keluarga tersayang serta dipermudahkan semua urusan dalam mengisi masa persaraan. Rancanglah kewangan secara berhemah agar kehidupan selepas bersara mencapai matlamat serta hasrat yang diidam-idamkan.

Saya akhiri ucapan saya dengan tiga rangkap pantun,

Pergi melancong ke Tanjung Pinang,
Meredah ombak di tengah lautan,
Budi dan jasa pasti dikenang,
Menjadi bekalan di hari kemudian.

Meredah lautan menangkap ikan,
Mentari bersinar burung bersiulan,
Pangkat dan harta kelak ditinggalkan
Hanya amalan menjadi bekalan.

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kami menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Di lain masa berjumpa lagi

Akhir kata saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam majlis yang bersejarah ini khususnya pihak urusetia yang bertungkus lumus memastikan kelancaran majlis ini dari mula hingga akhir. Jasa dan pengorbanan Tuan-Tuan dan Puan-Puan semua hanya Allah sahaja yang layak membalasnya.

Saya sudahi amanat saya dengan lafaz :

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh

Sekian, terima kasih.

Abd Rahim bin Hj.Abd Karim
Pengarah Keselamatan
UTM Johor Bahru
25.01.2018

FACEBOOK
GOOGLE
http://registrar.utm.my/mindasinergi/2018/01/25/perbarisan-amanat-pengarah-keselamatan-tahun-2018">
LINKEDIN