Program teambuilding merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Kelab Bahagian Sumber Manusia (BSM), Pejabat Pendaftar. Bertemakan Happy Trekking,program teambuilding kali ini diadakan di Hutan Rekreasi, UTM pada 21 September 2017 bermula jam 8.30 pagi.

Di samping AJK Kelab BSM yang bertindak sebagai urusetia program, program ini turut mendapat kerjasama daripada Kelab ARC, UTM yang dilantik sebagai Fasilitator program. Program ini mendapat penyertaan daripada semua staf BSM kecuali bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan. Pendaftar UTM, Dato’Wan Mohd Zawawi bin Wan Abdul Rahman  turut berbesar hati meluangkan masa untuk sama-sama melibatkan diri bersama staf BSM dalam sesi trekking ini.

Peserta program telah diminta untuk berkumpul di Pusat Latihan pada jam 8.00 pagi. Program dimulakan dengan senaman kecergasan oleh ahli Kelab ARC, UTM sebelum peserta dibahagikan mengikut kumpulan.

Matlamat program ini adalah untuk mewujudkan semangat setiakawan dalam mengharungi cabaran yang ditempuh sepanjang mengharungi perjalanan untuk menuju ke puncak iaitu di Balai Cerap, UTM. Hujan yang turun membasahi bumi telah menyukarkan laluan yang ditempuh untuk menuju ke destinasi yang telah ditetapkan.Walaupun diuji dengan pelbagai halangan dan cabaran, peserta dilihat masih bersemangat untuk meneruskan aktiviti trekking sehingga ke garisan penamat.

Program berakhir sekitar jam 12.00 tengahari di mana staf diminta untuk berkumpul di Hutan Rekreasi untuk mendengar amanat yang disampaikan oleh Timbalan Pendaftar Kanan (BSM), Encik Abdul Razib bin Shahuddin.