Pada tahun 2014, sebanyak 20 KAI dalam empat (4) perspektif telah dibangunkan bagi menjayakan KAI Universiti bagi tahun 2014  yang mana 3 daripadanya adalah menyumbang secara langsung manakala 5 KAI menyumbang secara tidak langsung. Secara keseluruhannya, dengan pencapaian hanya 6 KAI iaitu 30% dari keseluruhan KAI Pejabat Pendaftar yang mencapai sasaran dan 5 KAI masih lagi di bawah 60%, pastinya penekanan dalam punca dan penambahbaikan perlu dikenalpasti. Bak kata Thomas Edison, ”There’s a way to do it – find it!”. Justeru, bengkel penentuan KAI ini sepatutnya menjadi medan terbaik dalam perkara ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Dalam merangka KAI 2015 ini, pastinya dua rujukan utama adalah Buku Perutusan Tahun Baru 2015, Menerajui Inovasi Ke Arah Kemakmuran Sejagat dan Pelan Global UTM Fasa II.

Sepertimana diungkapkan oleh Y. Bhg  Datuk Naib Canselor dalam amanat tahun baru beliau, tahun 2015 merupakan tahun bermulanya Fasa Kedua Pelan Global UTM yang mensasarkan pelaksanaan program-program berimpak tinggi.

Mengimbau sejenak, Pelan Global UTM 2020 yang diperkenalkan pada tahun 2012 merupakan strategi jangka panjang bagi memperkasakan UTM sebagai sebuah institusi global ternama menjelang 2020 dan mensasarkan tergolong di kalangan 50 universiti terbaik dunia di dalam bidang kejuruteraan dan teknologi. Pelan ini telah digagaskan kepada 3 fasa pelaksanaan utama iaitu Fasa I (2012-2014), Fasa II (2015-2017) dan Fasa III (2018-2020). Sejajar dengan itu, perlu difahami, program berimpak tinggi yang dilaksanakan dalam Fasa II ini adalah turut sebagai persediaan bagi pelaksanaan program Strategic Transformative and Advance Research dalam Fasa III kelak.