PRINSIP PEMINJAMAN
Prinsip yang diguna pakai dan menjadi asas untuk menimbangkan peminjaman seseorang pegawai ialah:
(a) peminjaman perlu dipersetujui oleh ketigatiga pihak yang terbabit, iaitu agensi pembekal, agensi peminjam dan pegawai;
(b) peminjaman di antara agensi awam:
(i) hendaklah ke gred jawatan yang sama atau setaraf atau gred jawatan yang lebih tinggi daripada gred jawatan hakiki pegawai;
(ii) bagi jawatan terbuka, jika pelantikan dibuat secara peminjaman ianya hendaklah menggunakan skim perkhidmatan hakiki pegawai; dan
(iii) bagi jawatan yang telah ditetapkan skim perkhidmatannya, kekosongan jawatan hendaklah diisi oleh pegawai dalam skim perkhidmatan tersebut. Sekiranya tiada pegawai dalam skim perkhidmatan berkenaan yang layak untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut, pengisian boleh dibuat secara peminjaman oleh pegawai daripada skim perkhidmatan yang lain. Pengisian secara peminjaman ini hendaklah menggunakan skim perkhidmatan jawatan pinjaman.
(c) peminjaman ke gred jawatan yang lebih rendah daripada gred jawatan hakiki pegawai tidak dibenarkan;
(d) pegawai akan ditawarkan syarat peminjaman yang mana secara pakejnya tidak kurang baik (no less favourable) berbanding dengan jawatan hakiki khususnya dari segi gaji, elaun dan kemudahan. Kemudahan dalam konteks ini merujuk kepada kemudahan cuti, kediaman, perubatan dan kemudahan lain yang bersesuaian dengan bidang tugas jawatan pinjaman;
(e) tempoh peminjaman pertama yang boleh diluluskan adalah sehingga tiga (3) tahun. Tempoh keseluruhannya tidak digalakkan melebihi lima (5) tahun untuk memastikan sesuatu peminjaman itu tidak berpanjangan.
(f) pegawai yang memenuhi syarat peminjaman seperti yang ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan ini boleh diselaraskan gaji dengan diberi insentif :
(i) tiga (3) Pergerakan Gaji Biasa di jawatan hakiki bagi peminjaman ke gred jawatan yang sama atau setaraf; atau
(ii) dua (2) Pergerakan Gaji Biasa di jawatan hakiki bagi peminjaman ke gred jawatan yang lebih tinggi daripada gred jawatan hakiki.
(g) setelah ditetapkan jumlah gaji yang boleh diselaraskan mengikut prinsip di perenggan
(f), gaji permulaan yang boleh ditawarkan hendaklah ditetapkan pada matagaji yang sama atau tertinggi berhampiran di jawatan pinjaman