+6 07 553 0145 bpo@utm.my

Sejarah Penubuhan UTM

            Sejarah penubuhan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bermula pada tahun 1904. Uniknya, UTM bermula dari sebuah sekolah teknik yang dikenali sebagai Sekolah Teknik Treacher di Weld Road, Kuala Lumpur yang mengambil sempena nama Sir William Treacher, Residen General Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Hasrat penubuhan sekolah ini pada awalnya adalah untuk melahirkan tenaga kerja dalam bidang teknikal iaitu Pembantu Teknik untuk berkhidmat di Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Keretapi, Tanah Melayu.         Pada tahun 1942 Sekolah Teknik Treacher telah dinaikkan taraf menjadi Maktab Teknik pada tahun 1951. Maktab ini telah dipindahkan di kawasan seluas 47 ekar di Jalan Gurney (kini Jalan Semarak), Kuala Lumpur. Pada 1 Mac 1955 Maktab Teknik yang baru dibuka secara rasmi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray.

Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Maktab Teknik berperanan sebagai institusi pendidikan dan latihan tunggal negara dalam bidang profesional untuk mengisi jawatan di jabatan-jabatan kerajaan dan seterusnya membangunkan kemudahan infrastruktur negara. Khususnya dalam bidang teknologi dan kejuruteraan di peringkat Diploma.

 
          Pada tahun 1960, Maktab Teknik membuka lembaran baru apabila menawarkan kursus di peringkat ijazah sarjana muda. Maktab Teknik terus mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila dinaikkan taraf menjadi institut yang bertaraf universiti. Pada 14 Mac 1972, DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertua Agong telah mengistiharkan penubuhan Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) dan En. Ainuddin Wahid telah dilantik sebagai Rektor pertama.
 
          Oleh kerana keluasan kampus UTM di Jalan Semarak terhad, manakala permintaan terhadap tenaga kerja profesional dalam bidang sains dan teknologi terus meningkat kerajaan telah mengambil keputusan supaya kampus baru dibina di Skudai, Johor. Usaha awal pembinaan kampus di kawasan seluas 1,177 hektar bermula sejak 1978.
          Pada 16 September 1985 DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, selaku Canselor UTM yang kedua telah membuka kampus UTM di Skudai yang bernilai lebih RM1 billion dengan rasminya.
          Pada 1 September 1989 UTM Skudai diisytiharkan sebagai kampus induk manakala kampus di Jalan Semarak sebagai kampus cawangan. Sejak itu UTM terus berkembang dan sehingga kini merupakan penyumbang utama sumber tenaga negara dalam bidang teknologi dan kejuruteraan.
          Pembangunan infrastruktur, insaniah dan program pengajian di UTM semakin berkembang maju. Sesuai dengan usianya dan peranannya sebagai penyumbang utama tenaga profesional negara dalam bidang teknologi dan kejuruteraan, universiti kini memberi tumpuan untuk melahirkan lebih ramai profesional di peringkat sarjana dan Doktor Falsafah seterusnya melahirkan lebih banyak penemuan baru dalam penyelidikan yang mampu meningkatkan ekonomi negara dan kesejahteraan sejagat.
          Kejayaan demi kejayaan telah diraih oleh staf dan mahasiswa UTM di dalam dan di luar negara. Kerjasama strategik dengan institusi ternama di luar negara telah memantapkan kepakaran UTM dalam pelbagai bidang. Malah mahasiswa dan staf antarabangsa yang kian bertambah.
          Kejayaan terkini UTM adalah apabila dinobatkan sebagai Universiti Penyelidikan oleh Y.A.B Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 10 September 2011 semasa pembentangan RMK10.
          Berbekalkan kawasan kampus yang kaya dengan flora, fauna dan spesis hutan hujan tropika, UTM menawarkan suasana kampus pelancongan yang amat sesuai untuk pembelajaran. Ia menawarkan iklim pembelajaran yang amat positif dan menjadi tarikan utama kepada mahasiswa luar negara kerana suasana yang nyaman dan kaya dengan sumber semulajadi.